IKON pop legenda, Cyndi Lauper, mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat setianya apabila menganjurkan jualan amal 'pembersihan almari' yang menampilkan koleksi pakaian ikonik beliau dari era 80-an dan 90-an di Lower East Side, baru-baru ini.
Peminat sanggup beratur panjang selama lebih lima jam dalam cuaca sejuk melampau demi mendapatkan helaian busana eksklusif milik pemenang anugerah Grammy, Tony dan Emmy itu.
Antara barangan yang dijual termasuklah jaket blazer Moschino dan pelbagai pakaian jenama mewah lain yang pernah digayakan Lauper di pentas antarabangsa serta acara karpet merah.
BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan
BACA LAGI: Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja
Seorang pembeli, Alicia Abelli, 44, menyatakan rasa teruja apabila berjaya mendapatkan sehelai bodysuit renda hitam yang sering dipakai Lauper sekitar tahun 90-an.
Baginya, pakaian tersebut bukan sekadar kain, tetapi merupakan cebisan sejarah seni yang sangat bernilai bagi pengikut tegar muzik pop.
Jualan itu turut menarik perhatian golongan muda seperti Riley Verry, 26, yang meminati estetika tahun 80-an.
Beliau berjaya membeli sebuah topi plastik unik rekaan Sideara yang menyerupai gelang planet Zuhal, sekali gus membuktikan gaya unik Lauper tetap relevan merentasi generasi.
Menurut jurugaya peribadi Lauper, Nikki Fontanella, tujuan utama jualan ini adalah untuk memberi peluang kepada peminat memiliki barangan peribadi artis kegemaran mereka dengan harga yang mampu milik.
Terdapat barangan yang dijual serendah AS$10 (RM40), manakala kualiti barangan tersebut masih terjaga rapi.
Menariknya, setiap pakaian yang dijual disertakan dengan gambar Lauper ketika menggayakan busana tersebut dalam pelbagai acara televisyen atau sesi fotografi.
Ini memudahkan pembeli merasai nilai sentimental dan sejarah di sebalik setiap helaian yang mereka miliki.
Hasil kutipan bersih daripada jualan itu akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung Girls Just Wanna Have Fundamental Rights.
Dana itu merupakan inisiatif Lauper sendiri untuk memperjuangkan hak asasi wanita serta akses kesihatan yang lebih baik bagi golongan tersebut.
Bagi kebanyakan pengunjung, Lauper bukan sekadar penyanyi, tetapi simbol kebebasan berekspresi.
Gaya 'maksimalis' beliau yang sering menggabungkan pelbagai corak dan aksesori telah memberi inspirasi kepada ramai peminat untuk tampil berani dan menjadi diri sendiri tanpa perlu menghiraukan pandangan orang lain.
Meskipun koleksi pakaian paling ikonik dari zaman awal kerjayanya seperti skirt crinoline dan kasut neon masih disimpan dalam arkib peribadi, jualan kali ini tetap mempamerkan kepelbagaian cita rasa Lauper yang merangkumi jenama jalanan seperti Zara sehinggalah busana pereka mewah.
Suasana jualan tersebut turut mewujudkan semangat setiakawan dalam kalangan peminat yang hadir.
Ada yang sanggup memandu jauh dari luar kota dan berkongsi alat pemanas badan sementara menunggu giliran, sekali gus memperkukuh ukhuwah sesama peminat tegar bintang pop berkenaan.
Lauper sendiri tidak dapat hadir ke lokasi jualan kerana sedang sibuk membuat persiapan untuk persembahan residensi pertamanya di Las Vegas pada musim bunga ini.
Bagaimanapun, aura dan semangat beliau jelas dirasai melalui setiap koleksi yang dipamerkan.
Acara jualan dua hari tersebut berakhir dengan kejayaan besar apabila kesemua barangan dilaporkan habis terjual menjelang hari kedua, membuktikan pengaruh luar biasa Cyndi Lauper sebagai revolusioner fesyen dan muzik masih kekal utuh sehingga ke hari ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
