Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja


  • Bonda
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Seorang remaja yang termenung sambil memegang telefon pintar dan dikelilingi beg beli-belah, mencerminkan konflik emosi di sebalik tabiat pembelian kompulsif. — Gambar hiasan/AI

TABIAT membeli-belah dalam kalangan remaja kini bukan lagi sekadar keperluan, malah berubah menjadi aktiviti masa lapang dan ekanisme pelepasan tekanan yang membimbangkan.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Perubatan Remaja, Dr. Thiyagar Nadarajaw, trend yang sering dianggap sebagai terapi runcit itu berisiko melarat menjadi masalah kesihatan mental.

Apabila kelakuan itu bertukar menjadi pembelian kompulsif, ia dikategorikan sebagai gangguan pembelian kompulsif atau 'oniomania'.

BACA LAGI: Pakar kongsi cara tingkatkan keyakinan diri anak-anak demi masa depan

BACA LAGI: Tubuh anak berbau? Ibu bapa jangan panik, bukan semestinya akibat baligh awal

Ketagihan itu dicirikan oleh desakan luar kawalan untuk membeli barangan berdasarkan dorongan emosi, bukannya keperluan yang akhirnya membentuk corak ketagihan tidak sihat.

Secara saintifiknya, proses membeli-belah merangsang rembesan dopamin iaitu bahan kimia dalam otak yang memberikan rasa seronok.

Lama-kelamaan, otak akan mula mendambakan lonjakan dopamin tersebut sekali gus menyebabkan individu terus memburu kepuasan melalui pembelian berulang demi merasai keterujaan yang sama.

Bagi remaja yang sedang melalui fasa pertumbuhan emosi pesat, membeli-belah dalam talian menawarkan akses pantas dan kepuasan segera hanya dengan beberapa klik.

Antara petanda awal ketagihan itu termasuklah sentiasa berfikir tentang membeli-belah, rasa bersalah selepas berbelanja, berbohong mengenai pembelian, malah sanggup berhutang atau mencuri demi memenuhi keinginan tersebut.

Beberapa faktor penyumbang dikenal pasti termasuklah tahap keyakinan diri yang rendah serta tekanan sosial.

Dalam dunia serba moden, media sosial memainkan peranan besar apabila pempengaruh sering mempamerkan gaya hidup mewah yang mendorong remaja untuk membeli barangan berjenama demi meningkatkan status sosial mereka walaupun di luar kemampuan.

Ibu bapa disaran memainkan peranan proaktif dengan memulakan komunikasi terbuka tanpa sikap menghakimi.

Memahami pencetus emosi di sebalik tabiat tersebut adalah langkah pertama bagi membimbing remaja ke arah mekanisme daya tindak lebih konstruktif dan sihat.

Pendidikan literasi kewangan juga amat kritikal kerana remaja perlu diajar tentang nilai wang melalui pengurusan bajet dan simpanan.

Ibu bapa harus menggalakkan mereka memantau setiap perbelanjaan serta menetapkan had bagi barangan yang bukan keperluan bagi mengelakkan pembaziran.

Selain itu, galakkan remaja meneroka strategi alternatif untuk menguruskan tekanan seperti bersenam, hobi kreatif atau meluangkan masa bersama keluarga.

Aktiviti fizikal dan sosial itu dapat menggantikan pergantungan mereka terhadap kepuasan sementara daripada membeli-belah.

Penguatkuasaan batasan dalam penggunaan internet juga perlu dilakukan, misalnya dengan menetapkan tempoh 'bertenang' selama 24 jam sebelum melakukan sebarang pembelian dalam talian.

Langkah itu membantu remaja berfikir secara rasional sama ada barangan tersebut benar-benar diperlukan atau sekadar kehendak sementara.

Kawalan ibu bapa terhadap aplikasi dan laman web tertentu melalui fungsi teknikal juga boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih terkawal.

Dengan menyekat akses kepada platform beli-belah tertentu, ibu bapa dapat menggalakkan tabiat berbelanja secara berhemah dan bertujuan.

Paling utama, ibu bapa perlu menjadi suri teladan dengan menunjukkan tabiat berbelanja yang bertanggungjawab.

Remaja cenderung meniru perlakuan orang dewasa, maka amalan berbincang mengenai perancangan kewangan keluarga secara terbuka dapat memberi gambaran jelas tentang pengurusan wang yang bijak.

Mengenal pasti tanda-tanda awal ketagihan dan memberikan sokongan tepat mampu melengkapkan remaja dengan alat yang diperlukan untuk mengawal dorongan diri.

Usaha itu bukan sahaja menjamin kestabilan kewangan masa depan mereka, malah membina keyakinan diri melalui saluran lebih positif. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram