RAMAI individu memulakan tahun baharu dengan azam untuk hidup lebih sihat, tersusun dan bijak mengurus kewangan.
Namun, pakar mengingatkan terdapat satu aspek penting yang sering terlepas pandang tetapi berkait rapat dengan semua matlamat tersebut, iaitu penyelenggaraan rumah.
Menurut pakar hartanah dan perumahan, penyelenggaraan rumah secara awal dan berkala bukan sekadar membaiki kerosakan yang kelihatan, sebaliknya berperanan memastikan persekitaran kediaman kekal sihat, memanjangkan jangka hayat rumah serta melindungi nilainya dalam jangka panjang.

Penyelenggaraan rumah amat penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan penghuni. — Gambar hiasan
Perancangan awal bagi kerja-kerja penyelenggaraan rutin, termasuk persediaan menghadapi kecemasan yang tidak dijangka, mampu mengurangkan risiko pembaikan besar yang menelan kos tinggi pada masa hadapan.
Ia juga berupaya membantu pemilik rumah mengagihkan perbelanjaan dengan lebih seimbang sepanjang tahun.
Kajian Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar mendapati kira-kira tiga perempat daripada rumah sedia ada dijangka masih digunakan menjelang 2050.
Pengarah Eksekutif National Center for Healthy Housing, Amanda Reddy berkata, penyelenggaraan rumah amat penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan penghuni.
"Menjaga rumah yang kita miliki adalah sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kualiti hidup," katanya.
Beliau menjelaskan, tidak kira siapa pemilik kediaman, matlamat utama penjagaan rumah adalah memastikan ia sentiasa kering, bersih, bebas perosak, mempunyai pengudaraan baik dan selamat.
Keperluan tersebut bagaimanapun boleh berbeza mengikut jenis rumah, lokasi dan perubahan musim.

Seorang juruteknik pemasangan memanjat masuk ke loteng sambil membawa komponen sistem Pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) baharu yang dipasang di sebuah rumah kediaman di Texas, AS. — Agensi
Pelaburan bernilai
Menurut National Human Activity Pattern Survey, rakyat AS secara purata menghabiskan sekitar 90 peratus masa mereka di dalam bangunan, dengan 70 peratus daripadanya berada di dalam kediaman sendiri.
Reddy berkata, golongan warga emas, kanak-kanak kecil, individu yang mempunyai masalah kesihatan atau bekerja dari rumah berkemungkinan menghabiskan masa lebih lama di rumah, sekali gus menjadikan penjagaan kediaman satu pelaburan sangat bernilai.
Kebanyakan orang mengaitkan penyelenggaraan rumah dengan pembaikan besar seperti kebocoran air dan gas, masalah perosak atau rekahan struktur.
Namun menurut pembina rumah, banyak tugasan asas tidak memerlukan khidmat profesional, antaranya mengelap permukaan dapur, membersihkan sisa makanan, membuka tingkap untuk pengudaraan dan membersihkan penapis serta saluran air yang tersumbat.
Penduduk juga disarankan memberi perhatian kepada ruang yang sering digunakan seperti dapur, bilik mandi dan bilik tidur, selain kawasan yang kerap diabaikan seperti loteng dan ruang bawah tanah.
"Mana-mana kawasan yang sering digunakan atau sering diabaikan sehingga kerosakan tidak disedari seharusnya diberi keutamaan," jelas Reddy.
Beliau turut menegaskan, penyelenggaraan pencegahan lebih penting daripada kesempurnaan pelaksanaannya.
"Melakukan penyelenggaraan, walaupun secara asas, lebih baik daripada tidak melakukannya langsung.
"Namun, masa yang tepat tetap penting kerana banyak kerja penyelenggaraan bersifat bermusim atau tahunan," katanya.

Penyelenggaraan rumah secara awal dan berkala dapat memastikan persekitaran kediaman kekal sihat. — Gambar hiasan
Penyelenggaraan bermusim
Pakar berkata, perancangan penyelenggaraan mengikut musim dapat membantu mengurangkan kesan haus dan lusuh semula jadi pada bahagian luar rumah, selain mewujudkan persekitaran dalaman lebih sihat.
"Apa yang berlaku di luar rumah jarang kekal di luar.
"Unsur dari luar boleh masuk ke dalam rumah dan terkumpul," kata Reddy, sambil menjelaskan bahawa perubahan cuaca memberi tekanan berbeza kepada peralatan dan sistem rumah sepanjang tahun.
Sebagai contoh, persediaan menghadapi cuaca sejuk, hujan lebat, ribut atau bencana alam disarankan dilakukan sebelum suhu menurun.
Begitu juga, sistem rumah yang berfungsi mengurangkan kesan cuaca panas melampau, kemarau, kebakaran hutan dan kualiti udara perlu disemak pada musim luar puncak.
Pakar mengesyorkan pemilik rumah memeriksa sistem penyaman udara, membersihkan saluran pengering pakaian bagi mengelakkan risiko kebakaran, menguji sistem penyiram, menjaga landskap sekitar rumah dan memeriksa peralatan elektrik serta paip.
Panduan American Home Inspectors Training turut mencadangkan pembersihan penapis udara, kawalan perosak, pembaikan bumbung dan cerobong serta pemeriksaan sistem saliran di sekeliling rumah sebagai antara langkah penting penyelenggaraan tahunan. — The Star/CHEYANNE MUMPHREY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
