
BAYANGKAN anda melangkah masuk ke sebuah rumah serba ringkas dan moden, tetapi dengan sentuhan istimewa.
Lantai kayu yang cerah dihiasi tikar rotan buatan tangan dari Kelantan, sementelah di dinding pula terletak ukiran kayu halus warisan keluarga.
Ruang itu bukan hanya tempat tinggal, tetapi sebuah ruang budaya menceritakan kisah tuan rumah.
BACA LAGI: Menantu dilema, keluarga jadi dingin lepas bapa mentua 'terjah' masuk bilik waktu susukan anak
Inilah dekorasi silang budaya, trend yang bukan sekadar cantik, tapi sarat makna dan identiti.
Apa itu dekorasi silang budaya?
Dekorasi silang budaya merujuk kepada gabungan elemen estetika dua atau lebih budaya berbeza dalam satu ruang yang harmoni.
Ia bukan campur dan tampal semata-mata, tetapi satu pendekatan yang menghormati warisan sambil meraikan keunikan rekaan kontemporari.
Daripada menyimpan barang warisan dalam stor, generasi baharu kini memilih untuk menjadikannya nadi rumah mereka.
Contoh gabungan budaya menarik
1. Melayu x Scandinavian
Gabungan ini paling popular dalam kalangan pemilik rumah generasi muda.
Gaya Scandinavian dikenali dengan minimalisme, warna cerah dan fungsi praktikal disesuaikan dengan sentuhan Melayu yang hangat penuh kesenian.
Cara hias: Gunakan lantai kayu cerah atau berlamina dengan memilih perabot putih atau kayu natural potongan bersih.
Tambahkan elemen tradisional Melayu seperti sarung bantal batik, ukiran kayu tembus sebagai panel dinding atau lampu gantung rotan.
Hasilnya? Anda akan mendapat ruang yang lapang, tenang dan berjiwa moden, tetapi masih terasa seperti di kampung halaman.
2. Morocco x Bali
Kedua-dua budaya ini terkenal dengan corak, tekstur berani dan unsur alam semula jadi.
Gabungan itu menghasilkan ruang yang eksotik tetapi tidak terlalu sarat.
Cara hias: Pilih jubin bercorak geometri untuk lantai atau backsplash dapur.
Gunakan perabot rotan atau kayu gelap dengan bentuk organik.
Tambah tumbuhan besar dalam pasu tanah liat, tikar buluh dan lampu gantung buatan tangan seperti lampu berlubang Morocco.
Kesan akhir? Rumah terasa seperti vila percutian tropika, santai, misteri dan penuh karakter.
3. Jepun x Nusantara
Gaya ini menyatukan falsafah zen Jepun dengan kehangatan dan kekayaan seni tradisi Asia Tenggara.
Ia menghasilkan ruang yang bersih tetapi berlapis dengan nilai budaya.
Cara hias: Gunakan warna neutral seperti krim, beige dan kelabu lembut.
Pilih perabot rendah, leper dan bersudut lembut, diperbuat daripada kayu jati tempatan.
Tambahkan tenunan tangan Nusantara sebagai langsir atau alas meja dan karya seni tempatan berinspirasikan flora serta fauna.
Anda akan mendapat suasana mendamaikan, sesuai untuk refleksi diri seolah berada di ryokan Jepun yang bertapak di Kepulauan Melayu.
Gambaran gabungan dekorasi Morocco dan Bali.
Tip dekorasi silang budaya
1. Mulakan dengan satu sudut
Tidak perlu tukar seluruh rumah. Pilih ruang seperti sudut membaca, ruang kopi atau dinding galeri kecil untuk bereksperimen dengan elemen silang budaya.
2. Pilih warna asas neutral
Warna seperti putih, beige, kelabu dan kayu semula jadi membantu menyatukan unsur budaya berbeza dengan harmoni.
3. Setiap objek ada cerita
Letakkan hanya barang yang ada makna sama ada kenangan waktu melancong, pusaka keluarga atau hasil tangan komuniti tempatan.
Dekorasi silang budaya bukan hanya trend dekorasi, tapi cerminan siapa kita, rakyat Malaysia yang lahir dari pelbagai pengaruh budaya dan sejarah.
Dalam dunia moden yang makin global, kita tidak perlu memilih antara lama dan baharu.
Kita boleh meraikan kedua-duanya dalam ruang yang kita panggil rumah.
Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal, ia adalah kisah yang kita cipta dan wariskan setiap hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram