
SUDAH tiba masanya Kuantan dikenali bukan sekadar pintu masuk ke Pantai Timur, tetapi sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman pertama baharu sebaik sahaja kaki menjejaki bumi Malaysia.
Dalam dunia yang makin menghargai reka bentuk mesra alam dan pengalaman pelancongan berkesan, seorang anak jati Pahang tampil dengan pandangan yang bukan calang-calang.
Ia bukanlah dari sudut ekonomi semata-mata, tetapi dari kaca mata seorang arkitek.
BACA LAGI: Dekorasi kediaman mesra haiwan, pencinta kucing wajib ambil tahu!
Sebagai anak jati Pahang dan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Azhar Sulaiman bukan sekadar selebriti.
Beliau juga seorang arkitek berpengalaman yang tidak pernah lupa asal usulnya untuk berbakti kepada tempat kelahirannya.
Terbaharu, beliau berkongsi pandangan jujur dan bernas mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Gebeng, Kuantan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Azhar menyuarakan pendiriannya bahawa Kuantan tidak memerlukan lapangan terbang baharu buat masa ini, sebaliknya lebih wajar untuk menumpukan kepada revamp Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada.
Menurut Azhar, membina lapangan terbang baharu memerlukan pelaburan besar dan dalam keadaan sekarang, lebih baik fokus kepada meningkatkan jumlah penumpang ke Kuantan dahulu.
Tambah beliau, "revamp sahaja airport Kuantan ini, freshen up the look with new materials and some design installations."
Pandangan itu mencerminkan pendekatan pragmatik, tetapi kreatif yang sering diambil oleh arkitek dalam menangani isu pembangunan berimpak tinggi dengan kos berpatutan.
Impi airport in the garden seperti Hawaii
Antara idea paling menarik dalam cadangan Azhar adalah untuk menjadikan lapangan terbang Kuantan sebagai sebuah destinasi pengalaman, bukan sekadar tempat transit.
"Buatlah airport Kuantan rasa macam kita pergi Hawaii, with nice landscaping and nice plants and trees, airport in the garden," jelasnya.
Ia sekali gus mengingatkan kita kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Koh Samui di Thailand, lapangan terbang kecil yang dibina ala resort tropika, lengkap dengan struktur terbuka, pengudaraan semula jadi dan landskap menghijau yang menenangkan.
Contoh lapangan terbang mesra alam tema ala resort
1. Koh Samui Airport, Thailand
Lapangan terbang ikonik itu menawarkan suasana terbuka, bangunan kayu dengan bumbung rumbia dan landskap tropika.
Ia memberikan pengalaman seolah-olah tetamu baharu tiba di resort mewah meskipu reka bentuknya ringkas tetapi sangat mesra pengguna dan alam sekitar.
2. Seychelles International Airport
Menggabungkan suasana pantai dengan struktur terbuka yang membolehkan cahaya dan angin semula jadi mengalir masuk sekali gus menonjolkan suasana santai yang dekat dengan alam.
3. Hanimaadhoo International Airport, Maldives
Projek terkini di Maldives itu menggunakan reka bentuk Scandinavia tropika, dengan penggunaan kayu tempatan, landskap mesra biodiversiti dan konsep terbuka untuk menjimatkan tenaga.
Seychelles International Airport.
Azhar turut mencadangkan agar projek penambahbaikan itu dikendalikan oleh arkitek dari Norway, Ireland atau rantau Scandinavia yang terkenal dengan kepakaran dalam retrofit dan reka bentuk lestari.
"Call me," tulisnya berseloroh sambil menunjukkan keyakinannya bahawa reka bentuk bijak mampu memberikan impak jangka panjang lebih besar daripada sekadar projek besar-besaran.
Apa boleh dibuat sekarang?
Fokus naik taraf dalaman dan luaran lapangan terbang Kuantan, dengan penggunaan bahan tempatan berkualiti dan sistem pengudaraan semula jadi.
Cipta identiti visual baharu seperti ruang menunggu yang terbuka, landskap hijau, elemen seni tempatan seperti ukiran Pahang.
Tingkatkan jumlah penerbangan harian, seperti dari Subang, untuk membina aliran trafik konsisten ke Kuantan.
Jadikan lapangan terbang Kuantan sebagai gateway ke pengalaman pantai timur dari Teluk Chempedak ke Tanjung Lumpur.
Cadangan Azhar Sulaiman bukan sahaja praktikal, tetapi hadir dengan nilai estetik dan identiti.
Ia sesuatu yang penting dalam mana-mana projek infrastruktur hari ini.
Kuantan tidak semestinya perlu lapangan terbang baharu, tapi perlukan sesuatu yang buat orang rasa nak datang semula.
"Jikalau itu rasa macam baru mendarat di Hawaii, maka kenapa tidak?" — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram