RAMAI orang masih percaya telur terutama bahagian kuningnya boleh menyebabkan kolesterol tinggi.
Namun, pandangan itu kini mula berubah selepas kajian terbaru menunjukkan telur boleh dimakan setiap hari oleh individu yang sihat.
American Heart Association (AHA) menyatakan pengambilan sehingga sebiji telur sehari adalah selamat dan boleh menjadi sebahagian daripada pola pemakanan yang menyokong kesihatan jantung.
BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak
Untuk melihat kesannya secara langsung, seorang ahli gizi berdaftar dari Amerika Syarikat, Laure Manaker menjalankan eksperimen dengan mengambil sebiji telur setiap hari selama seminggu.
Eksperimen itu bertujuan menilai perubahan pada tahap tenaga, rasa lapar dan rutin pemakanannya.
Manaker menjadikan telur sebagai pilihan praktikal dalam diet hariannya.
Ada masanya telur direbus dan disimpan dalam peti sejuk sebagai snek segera.

Telur mudah disimpan sebagai snek praktikal untuk membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari. — Gambar hiasan
Pada hari lainnya, telur dimasak secara ringkas seperti telur hancur, dicampur dalam ramen atau dijadikan lauk tambahan untuk makan tengah hari dan malam.
Beliau memasukkan telur ke dalam menu harian dengan cara yang mudah dan ringkas, tanpa masakan yang rumit.
Selepas seminggu, Manaker mendapati tenaganya lebih stabil dan rasa lapar berkurangan.
Beliau mengaitkan perubahan itu dengan kandungan protein berkualiti tinggi dalam telur yang membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama.
Sepanjang eksperimen, beliau tidak mengalami sebarang masalah pencernaan atau kesan negatif lain.
Selain itu, pengalaman itu membuatkan Manaker lebih peka terhadap kehadiran telur dalam makanan lain seperti penkek, kek atau pasta.
Keadaan ini membantunya mematuhi aturan satu telur sehari dan menjadikan perancangan makanan lebih mudah, sekali gus mengurangkan tekanan dalam membuat pilihan menu harian.
Telur bukan sekadar mudah didapati dan murah, tetapi juga padat dengan nutrien penting.
Ia mengandungi protein lengkap dengan semua asid amino yang diperlukan tubuh.

Eksperimen ini menunjukkan kandungan telur tersembunyi dalam pelbagai makanan. — Gambar hiasan
Selain itu, telur kaya dengan kolina, nutrien penting untuk kesihatan otak, menyokong daya ingatan, mood dan fungsi kognitif.
Sebiji telur mengandungi kira-kira 150 mg kolina, iaitu 27 peratus keperluan harian lelaki dan 35 peratus wanita.
Telur juga mengandungi vitamin B12, yodium, lutein, zeaxanthin dan protein berkualiti tinggi.
Kebanyakan nutrien ini terdapat pada kuning telur, jadi pengambilan telur tanpa kuning kurang disyorkan.
Lutein dan zeaxanthin dalam kuning telur membantu melindungi retina daripada cahaya biru berbahaya dan mengurangkan risiko degenerasi makula berkaitan usia.
Telur juga menyokong sistem imun kerana mengandungi selenium, zink dan vitamin D, dengan sebiji telur membekalkan kira-kira 6 peratus keperluan harian vitamin D.
Nutrien ini penting dalam mengatur tindak balas imun tubuh.
Siapa perlu berhati-hati?
Walaupun telur bermanfaat, ia tidak sesuai untuk semua orang. Individu dengan alahan telur perlu mengelakkannya sepenuhnya.
Bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung atau kolesterol tinggi, nasihat doktor atau ahli gizi amat penting sebelum mengambil telur secara rutin.
Bagi individu yang sihat, pakar pemakanan bersetuju bahawa pengambilan telur secara sederhana termasuk sebiji sehari boleh menjadi sebahagian daripada diet seimbang yang menyihatkan jantung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
