TAHUN ini, industri fesyen dijangka kembali kepada pendekatan yang lebih sederhana, dengan keaslian mengatasi sensasi dan gimik.
Trend tidak lagi digerakkan oleh ‘hype’, sebaliknya berpaksikan keperluan sebenar serta nilai jangka panjang.
Fenomena 'quiet luxury' yang melonjak pada 2023 menekankan rekaan ringkas, fabrik berkualiti tinggi dan ketelitian kerja tangan berbanding logo besar atau perincian mencolok.
BACA LAGI: Demi pelajar rasa lebih selamat, guru ubah suai bilik kaunseling konsep 'feels like home'
BACA LAGI: Sistem imun anak kecil ibarat kertas kosong, pakar jelas punca kerap sakit, cara kuatkan imuniti

Rekaan fesyen hari ini lebih fokus kepada kesederhanaan dan nilai jangka panjang, bukan sekadar mencuri tumpuan. — Gambar hiasan/Agensi
Walaupun aliran ini dilihat sedikit perlahan tahun lalu, pereka percaya ia bakal kembali kukuh dalam landskap fesyen 2026.
Pengasas jenama tempatan ByThian, Teresa Thian berkata, pengguna kini semakin menilai semula apa yang benar-benar penting dalam kehidupan mereka.
“Fesyen sedang bergerak menjauhi keterlaluan visual dan kembali kepada emosi, sentuhan serta tujuan.
“Ia bukan lagi soal mencuri tumpuan, tetapi memberi rasa tenang melalui rekaan yang tahan lama,” katanya.
Pemilihan Cloud Dancer, rona putih lembut dan minimal sebagai warna tahun 2026 oleh Pantone turut menguatkan jangkaan terhadap kebangkitan gaya yang sederhana dan tidak terikat kepada trend sementara.
Pemilik jenama barang kemas Wanderlust + Co, Jenn Low pula melihat perubahan ketara dalam cara orang berpakaian yang kini lebih mudah dan jelas mencerminkan identiti diri.
“Gaya fesyen sekarang lebih berorientasikan diri sendiri. Ia bukan tentang mencari kelulusan orang lain, tetapi berpakaian dengan jelas dan bermakna,” katanya.
Menurut Low, fokusnya adalah menghasilkan barang kemas yang ikonik tanpa terlalu menonjol seperti anting-anting atau rantai yang kekal relevan walaupun trend berubah.
“Rekaan terbaik pada 2026 bukan yang cuba menjadi tular,” ujarnya.
Perdebatan sama ada fesyen perlu tampil berani atau kekal sederhana terus berlarutan.
Jenama seperti Bottega Veneta dan Gucci memilih pendekatan lebih ekspresif manakala Loro Piana dan The Row kekal setia kepada keanggunan abadi.
Kedua-duanya yakin pendekatan masing-masing, menjadikan 2026 tahun penting untuk menguji selera sebenar pengguna.
Dari sudut perniagaan, pereka veteran, Khoon Hooi berkata, pendekatan lebih ‘senyap’ mungkin tepat ketika industri masih dalam fasa pemulihan pasca pandemik.
“Covid-19 berlaku kira-kira lima tahun lalu tetapi kesannya masih dirasai dalam industri fesyen.
“Selepas sekatan ditamatkan, jualan meningkat sekitar dua tahun sebelum pengguna mula berasa penat berbelanja," jelasnya.
Walaupun sektor mewah merosot tahun lalu, perbelanjaan pengguna kini dilihat lebih stabil.
Laporan Bain & Company meramalkan, pasaran fesyen global bernilai sekitar €358 billion (lebih RM1 trillion) pada 2025 dan dijangka kekal stabil hingga 2026, dipacu oleh kualiti, etika dan inovasi.
Khoon Hooi memilih untuk bekerjasama dengan jenama tempatan berbanding kempen berskala besar, termasuk kolaborasi bersama Dressing Paula.
“Saya lihat ini sebagai langkah baik kerana ia membuka rekaan saya kepada pasaran lebih luas,” katanya.
Low turut optimis terhadap hala tuju industri, namun menegaskan jenama perlu menilai semula strategi pemasaran.
“Budaya digital sudah matang. Gimik tidak lagi berkesan seperti dulu,” katanya menambah, apa yang benar-benar memberi kesan ialah kebolehcaman dan hubungan emosi," ujarnya.
Pandangan itu selari dengan penggiat PR dan acara, Mughni Che Din yang melihat kempen fesyen bukan dikurangkan, tetapi diperhalusi agar lebih bermakna.
“Jenama yang berjaya ialah yang mengutamakan kesederhanaan. Ia tentang penceritaan, komuniti dan tujuan, bukan sekadar publisiti atau perhatian semata-mata,” katanya.
Menurutnya, kebangkitan quiet luxury juga mencerminkan peralihan ke arah slow fashion apabila pengguna semakin berfikir sebelum membeli.
“Orang kini bertanya sama ada sesuatu itu berbaloi dan selari dengan diri mereka,” katanya. — The Star/BERVIN CHEONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
