ADAKAH anda rasa penat untuk terus mengejar microtrend fesyen seperti angelcore, whimsigoth, mob wife, tomato girl dan pelbagai lagi?
Persoalannya, adakah trend kecil ini akan terus muncul tanpa henti hingga 2026?
Untuk memahami fenomena ini, kita perlu membezakan antara trend sebenar dan microtrend dalam konteks berpakaian.
BACA LAGI: Nenek usia 81 tahun jadi YouTuber main 'Minecraft', kumpul lebih RM140,000 rawatan kanser cucu

Selebriti seperti Hailey Bieber turut pernah menggayakan trend 'tomato girl'. — Instagram/@haileybieber
Trend sebenar bersifat lebih mendalam dan berpanjangan, malah mampu mengubah cara kita melihat fesyen serta mempengaruhi gaya untuk tempoh lama.
Microtrend pula tidak lahir dari pentas peragaan, pereka fesyen atau majalah, sebaliknya muncul daripada TikTok dan lebih dipengaruhi oleh algoritma berbanding gaya sebenar.
Ringkasnya, microtrend ialah versi digital kepada kegilaan sementara yang kini diberi nama khusus untuk tujuan penamaan dan penggunaan hashtag.
Sebab itu jika kita perasan, hampir setiap gaya hari ini diakhiri dengan perkataan 'core' atau 'girl'.
Menurut wartawan fesyen, Madison Malone Kircher, microtrend tercetus apabila algoritma media sosial terus memaparkan kandungan serupa selepas seseorang meluangkan masa menonton satu jenis video.
Keadaan ini mendorong pencipta kandungan menghasilkan lebih banyak video seakan sama, sekali gus mewujudkan kitaran tanpa henti dalam dunia digital.
Akibatnya, apa sahaja yang muncul di skrin kelihatan seperti trend besar, walhal ia mungkin hanya popular untuk tempoh singkat.
Kircher menjelaskan kebanyakan microtrend hanya bertahan sekitar enam hingga lapan minggu, menyebabkan ia muncul terlalu banyak dan memenatkan.
Menariknya, laporan oleh wartawan Styles, Callie Holtermann mendapati golongan muda yang sering dipersalahkan sebagai pencetus microtrend sebenarnya turut tidak menyukai fenomena ini.
Bagi membezakan microtrend dengan trend sebenar seperti seluar barrel pants, Kircher berkata, petunjuk paling jelas ialah apabila sesuatu gaya dipromosikan secara tergesa-gesa, seolah-olah ia perlu dibeli dengan segera.
Sama ada perlu mengambil peduli atau membeli microtrend, jawapannya mudah.
Mungkin perlu tahu, tetapi tidak semestinya ikut. Ada perbezaan besar antara memahami apa yang sedang diperkatakan orang ramai dengan menjadi pengikut tegar sesuatu gaya.
Mengetahui apa yang muncul di media sosial boleh membantu memahami budaya semasa, namun membeli dan mengikut microtrend secara berlebihan hanya menjadikan seseorang mangsa fesyen.
Ia bukan sahaja membebankan kewangan, malah memberi kesan buruk kepada alam sekitar kerana sifatnya yang cepat lapuk.
Seperti ditegaskan Kircher, ketika sesuatu item tiba selepas dipesan, selalunya microtrend baharu sudah mengambil tempat.
Walaupun bersifat sementara, microtrend sering meninggalkan kesan melalui namanya.
Sebab itu ramai masih mengingati fenomena 'tomato girl' walaupun ia hanyalah microtrend pada musim panas 2023.
Mengenali istilah ini satu perkara, tetapi berpakaian sepenuhnya mengikut satu label gaya adalah perkara lain.
Walaupun sejak hujung 2024 ramai meramalkan pengakhiran microtrend, seiring perubahan sikap terhadap penggunaan media sosial, hakikatnya fenomena ini masih belum lenyap. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
