MINGGU ini menyaksikan ramai ibu bapa berkongsi pengalaman anak-anak menyesuaikan diri dengan suasana baharu, khususnya bagi mereka yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan.
Di media sosial, pelbagai hantaran dimuat naik, daripada keletah lucu dan mencuit hati kanak-kanak di sekolah sehinggalah kisah mencabar yang dilalui ibu bapa dalam membantu anak mengurus emosi serta tingkah laku.
Tidak kurang juga ibu bapa yang berkongsi pengalaman berhadapan perubahan sikap anak selepas tamat sesi persekolahan.
Antaranya luahan seorang wanita yang mengalami keletihan emosi selepas tingkah laku anaknya berubah sejurus pulang dari sekolah.
“Anak aku empat hari sekolah, pergi sekolah okey. Balik terus perangai macam ini sampai malam, sampai ke tidur nanti.
"Aku dah tak waras hadap macam ini selama empat hari. Normal ke? Atau sebab penat?” tulisnya menerusi hantaran di Threads pada Khamis.
Luahan itu mendapat perhatian ramai ibu bapa termasuk ahli terapi dikenali sebagai Aisyah Rozalli, yang menjelaskan bahawa keadaan tersebut adalah fenomena yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Aisyah, situasi itu dikenali sebagai After School Restraint Collapse, iaitu keadaan apabila kanak-kanak mengalami keletihan emosi dan mental selepas seharian menahan perasaan serta mengawal tingkah laku di sekolah.
“Anak dah guna terlalu banyak tenaga dan memendam emosi. Apabila balik rumah, dia ‘collapse’ habis.
"Kawalan emosi dan tingkah laku dah habis, sebab itu dia meragam dan semua benda rasa tak kena,” jelasnya di ruangan komen.
Beliau turut berkongsi beberapa pendekatan yang boleh membantu ibu bapa menangani situasi tersebut.
Antaranya, jika anak sudah boleh berkomunikasi dan perkembangan lain adalah normal, ibu bapa disarankan berbincang dengan anak ketika mereka berada dalam keadaan tenang.
“Bagi dia buat perkara itu selagi selamat dan munasabah,” katanya.

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak memberi terlalu banyak arahan sebaik anak pulang dari sekolah.
Menurutnya, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak memberi terlalu banyak arahan sebaik anak pulang dari sekolah.
Ujarnya, beri masa sekitar 30 minit untuk anak berehat dahulu sebelum minta dia mandi atau makan.
"Dia dah tak boleh nak hadap arahan,” katanya.
Dari segi sokongan fizikal dan sensori, ahli terapi tersebut mencadangkan urutan tekanan mendalam atau deep pressure massage bagi membantu anak melepaskan keletihan.
“Tekan dan urut bahagian dari bahu ke tangan, dari paha ke kaki.
"Kalau anak perlukan tekanan lebih kuat, boleh guna selimut yang agak berat dan peluk dia dengan selimut tersebut,” jelasnya.
Persekitaran rumah juga memainkan peranan penting. Ibu bapa digalakkan mewujudkan suasana lebih tenang sebaik anak pulang dari sekolah.
“Lampu biar malap sedikit, suhu rumah lebih sejuk dan kalau ada aromaterapi, gunakan bau yang menenangkan supaya sistem sensori anak dapat berehat,” maklumnya.
Perkongsian itu memberi kelegaan kepada ramai ibu bapa yang sebelum ini menyangka perubahan tingkah laku anak sebagai masalah disiplin, sedangkan ia sebenarnya tindak balas normal terhadap keletihan emosi selepas sehari bersekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
