PERKAHWINAN masyarakat Melayu cukup sinonim dengan majlis meriah, hantaran dan persandingan yang sering dijadikan tradisi sejak dahulu kala.
Pun begitu, generasi kini semakin cakna dan kreatif dalam mengatur majlis perkahwinan dengan rata-ratanya memilih konsep 'intimate wedding' yang lebih privasi dan menjimatkan.
Baru-baru ini, seorang wanita dikenali sebagai Elisa Khairil memilih pendekatan berbeza apabila melangsungkan pernikahan secara sederhana di luar negara.
Pengalaman tersebut bukan sahaja mencuri perhatian warganet, malah membuka perbincangan tentang erti sebenar sebuah perkahwinan.
Berkongsi kisah pernikahannya menerusi laman Threads, wanita itu memilih konsep sedemikian dengan tetamu jemputan hanya seramai 35 individu sahaja ketika melangsungkan pernikahan di Jerman tahun lalu.
Menurutnya, majlis tersebut langsung tidak mengikut kebiasaan adat Melayu yang lazim diamalkan keluarganya.
"I really broke the Malay culture in my family by having only 35 people for my intimate nikah. No hantaran, no wedding reception and no door gifts," katanya.
Pun begitu, Elisa mengakui keputusan dibuat benar-benar meninggalkan momen indah pada hari bahagianya kerana berpeluang mengenali ahli keluarga mentuanya dengan lebih rapat dan mesra.
Majlis pernikahan itu diadakan di sebuah restoran yang ditempah sepenuhnya untuk tetamu jemputan dengan hidangan tengah hari dinikmati dalam suasana cukup santai.
Katanya, konsep tersebut memudahkan dia bergaul dengan semua tetamu tanpa rasa terkejar-kejar seperti kebiasaan majlis-majlis besar.
Lebih menarik, pasangan romantis itu juga tidak mengupah jurugambar profesional, sebaliknya mereka menggantikan perkhidmatan itu dengan idea kreatif dinamakan 'wedding photo bingo'.
"We also didn’t hire photographer, instead we swapped it with wedding photo bingo by having raw moments captured by the guests, siapa bingo dapat small gift.
"Alhamdulillah, no alcohol was involved," ujarnya.
Sementara itu, momen mencuit hati berlaku apabila sejambak bunga pengantin yang dipesan disangka bersaiz kecil, namun tiba dengan berat sekitar lima kilogram.
"Yang kelakar, order wedding bouquet ingat kecil, sekali sampai 5kg, rezeki," tambahnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang memuji keberanian pasangan itu menepis kebiasaan dan memilih majlis pernikahan yang lebih privasi berdasarkan bajet dimiliki.
Malah, ramai turut menyifatkan bahawa perkahwinan tidak semestinya perlu diraikan secara mewah, sebaliknya cukup dengan kesederhanaan serta kenangan manis bersama insan tersayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
