KESIHATAN sering menjadi ujian paling getir bagi sesetengah individu khususnya apabila usia semakin meningkat.
Pengalaman diuji dengan sakit bukan sekadar menuntut kekuatan fizikal, malah mengundang emosi dan kenangan yang mendalam, lebih-lebih lagi apabila ia mengingatkan kepada insan tersayang yang telah pergi.
Baru-baru ini, bekas pengacara dan personaliti televisyen popular, Puan Seri Normala Samsudin, 62, berkongsi detik cemas apabila terpaksa ditahan di wad kecemasan selepas tekanan darahnya meningkat secara mendadak sehingga mencecah bacaan 211.
BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan
Perkongsian itu dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada 4 Januari 2026 bersamaan 15 Rejab 1447H, yang disifatkannya sebagai satu permulaan penting untuk dikongsi bersama rakan seusianya.
Menurutnya, pengalaman berada di katil hospital dan wad yang sama pernah dilalui arwah ibunya membuatkan perasaan rindu menyelinap kuat dalam hatinya.
“Apabila saya duduk di katil hospital dan wad yang sama ini seperti arwah emak, kerinduan itu menjentik ulu hati.
"Inilah yang mak lalui, the feeling dan zikir yang tak lepas dari bibirnya, sungguh aku benar-benar rindu padamu mak," luahnya.
Tambahnya, situasi tersebut memberi kesan mendalam pada dirinya selain turut menginsafi perjalanan hidup di usia warga emas yang penuh dengan ujian kesihatan dan kebergantungan kepada ALLAH.
"Feel like crawling into your womb comfortably,” keluhnya.
"Doaku tak putus selagi waras InsyaALLAH, sama-sama kita doakan perjalanan kita seperti lancarnya bahtera Nuh," tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatannya, Normala berkata, tekanan darahnya telah meningkat sejak enam bulan lalu meskipun beliau mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam dan mengambil suplemen secara konsisten.
"Benarlah ujian sakit itu tanda ALLAH sayang kita, tanda diangkat segala dosa, InsyaALLAH tanda kita perlu lebih istiqamah.
"Doktor kata kena buat drip dan ubat untuk kurangkan rasa pening vertigo serta tekanan darah, bacaan tekanan darah mencecah 211," jelasnya.
Dalam pada itu, Normala bukanlah nama asing dalam industri hiburan tanah air.
Beliau mula dikenali sebagai penyampai berita Buletin Utama pada era 90-an selain turut mencipta nama selaku hos rancangan televisyen popular, Nona dari 2001 hingga 2004.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Normala lebih dikenali dengan imej muslimah dan sering berkongsi pengisian kerohanian, motivasi serta pengalaman hidupnya di media sosial.
Perkongsian terbaharu itu menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan pengikut yang membanjiri ruangan komen dengan doa agar beliau segera sembuh serta terus diberikan kekuatan.
Malah, tidak kurang juga pihak yang menyifatkan luahan itu sebagai peringatan tentang pentingnya menjaga kesihatan, melakukan pemeriksaan berkala serta menghargai setiap detik kehidupan terutamanya di usia yang semakin meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
