PERJUANGAN melawan penyakit kanser bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila ia melibatkan insan tersayang.
Ketabahan pesakit dan sokongan keluarga sering menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan, walaupun terpaksa melalui rawatan yang panjang dan menyakitkan.
Pempengaruh media sosial dan usahawan, Ojen, baru-baru ini berkongsi kisah menyentuh hati mengenai perjuangan ibunya melawan kanser menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurutnya, ibunya baru sahaja sedar daripada pembedahan usus, yang disifatkan sebagai pembedahan kedua terbesar sepanjang hidup wanita tersebut.
BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan
Katanya, ibunya menangis teruk akibat kesakitan yang berada pada tahap maksimum, iaitu 10 daripada 10.
"Satu pengalaman baharu buat mama dan kami sekeluarga, saya cuba cari pelbagai cara untuk tenangkan mama.
"Alhamdulillah sekarang mama sudah boleh senyum dan keadaannya jauh lebih baik, mama juga sudah dapat mengawal kesakitan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ojen memaklumkan perkembangan positif apabila doktor yang merawat, Dr Thong, memaklumkan keputusan darah dan imbasan CT ibunya menunjukkan hasil yang sangat baik.
Kanser yang dihidapi juga tidak merebak ke mana-mana organ lain, sekali gus membuatkan seluruh ahli keluarga sebak dan bersyukur.
Menurut Ojen, ibunya sangat berdisiplin dalam mengikuti semua rawatan yang disusun oleh doktor, selain berusaha mencuba pelbagai kaedah pemakanan serta pengambilan suplemen walaupun tiada jaminan saintifik untuk bebas kanser.
"Sekurang-kurangnya kami mencuba, Alhamdulillah, ia memberi kesan yang baik pada mama,” jelasnya.
Buat masa ini, ibunya masih perlu menjalani tujuh kitaran kimoterapi lagi, namun tahap kelangsungan hidup telah meningkat kepada 80 peratus.
Ojen menyifatkan setiap perkembangan kecil sebagai satu kejayaan besar dan percaya ibunya akan sembuh sepenuhnya.
Dalam perkongsian sama, Ojen menekankan amalan bersedekah sebagai satu kekuatan rohani yang diamalkan oleh ibunya sejak dahulu.
Walaupun terpaksa menggunakan beg stoma selama dua bulan, ibunya tetap tidak berhenti bersedekah, termasuk kepada jururawat yang membantu membersihkannya walaupun dalam jumlah kecil.
"Yang mengajar saya tentang sedekah adalah mama, dia wanita yang sangat rajin bersedekah,” katanya.
Ojen turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan ibunya dan berharap doa-doa tersebut akan terus mengiringi perjuangan wanita itu sehingga benar-benar sembuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
