KEGIATAN penipuan menggunakan nama individu berpengaruh dan institusi diraja semakin membimbangkan, terutama apabila ia melibatkan bantuan kewangan palsu yang menyasarkan orang ramai melalui media sosial.
Terbaharu, Kesultanan Pahang tampil membuat penafian rasmi berhubung dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj, ada menawarkan bantuan wang tunai melalui platform sosial dan WhatsApp.
BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan
Menerusi satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook, Kesultanan Pahang menegaskan bahawa baginda tidak pernah menawarkan sebarang bantuan kewangan atau berhubung secara peribadi dengan orang awam melalui medium tersebut.
"Penafian itu dibuat susulan mesej yang diedarkan kepada orang ramai menggunakan nama 'Tengku Azizah' atau 'Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah' yang didapati giat memperdaya masyarakat dengan tawaran bantuan wang lumayan serta meminta maklumat peribadi mangsa.
"Istana Pahang turut menegaskan bahawa perbuatan tersebut merupakan satu cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej serta kewibawaan institusi diraja.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, bijak menilai kesahihan maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang disebarkan melalui media sosial," katanya.
Dalam masa sama, orang awam juga digesa supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang mesej atau dihubungi oleh pihak yang mencurigakan menggunakan nama Tengku Ampuan Pahang.
Penafian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet di ruangan komen, termasuk perkongsian pengalaman individu yang pernah berdepan cubaan penipuan menggunakan nama Tengku Ampuan Pahang.
"Mak mentua saya pernah kena scam, dia guna nama Tengku Ampuan Pahang, minta transfer duit untuk masuk badan kerabat," kata FieQah Ismail.
Seorang lagi pengguna, Maimunah Hassan, menggesa agar tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang terlibat.
"Daulat Tuanku, eloklah ambil tindakan undang-undang terhadap scammer, dah melampau guna nama Tuanku Tengku dalam Facebook dan TikTok, semoga ALLAH melindungi Tuanku sekeluarga," ujarnya.
Selain itu, seorang pengguna lain turut mendakwa pernah menerima tawaran serupa dan menyatakan kebimbangan apabila nama kerabat diraja lain turut disalahgunakan.
"Saya pernah ditawarkan perkara yang sama dahulu, tetapi alhamdulillah saya tidak percaya.
"Ada juga yang guna nama Tengku Mahkota Tengku Hassanal di TikTok dan Facebook, menawarkan kad perubatan dan kad ahli istana Pahang, mohon pihak berkenaan buat siasatan," kata Fadzli Cdb Lie.
Kes itu secara tidak langsung menjadi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran bantuan kewangan.
Lebih merisaukan apabila ia melibatkan permintaan maklumat peribadi atau transaksi wang atas nama individu berprofil tinggi dan institusi diraja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
