'Mereka tetamu ALLAH, saya ikhlas menyantuni semua', Wan Sharmila kongsi momen bergelar mutawiffah


  • Sukses
  • Rabu, 07 Jan 2026

Wan Sharmila kini memikul tanggungjawab sebagai mutawif bagi jemaah haji dan umrah wanita.

PELAKON terkenal Wan Sharmila Wan Muhamad meluahkan rasa syukur apabila diberikan peluang menggalas amanah besar sebagai mutawif wanita dalam mengiringi jemaah umrah ke Tanah Suci.

Perkongsian penuh makna itu dikongsikan sendiri oleh Wan Sharmila menerusi satu hantaran di Instagram, memaparkan pengalamannya menyambut jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor baru-baru ini.

Perkongsian itu secara tidak langsung mencerminkan pendirian pelakon drama Playboy Itu Suami Aku tersebut terhadap tanggungjawab besar yang kini dipikul bukan sekadar sebagai selebriti, tetapi pembimbing ibadah buat tetamu ALLAH.

BACA LAGI: Lebih 200 graduan perubatan rai majlis graduasi di tengah runtuhan perang Gaza, 'bangkit' capai cita-cita

BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan

"Doakan saya, ini bukan main-main, mereka semua tetamu ALLAH yang dijemput dan saya ikhlas ingin menyantuni semua," katanya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila bukan nama asing dalam industri seni tanah air.

Sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni, beliau dikenali sebagai pelakon versatil yang sering membawakan watak wanita cekal dan sarat emosi dalam pelbagai drama popular.

Kejayaannya di kaca televisyen menjadikan beliau antara pelakon yang konsisten dan dihormati, selain sering berkongsi sisi kerohanian serta refleksi diri dalam kehidupan seharian kebelakangan ini.

Menurutnya, pengalaman kali ini sangat berbeza berbanding perjalanan umrah sebelum ini.

Jika dahulu beliau hadir sebagai jemaah yang menumpukan ibadah dan penjagaan diri sendiri, kini peranannya berubah apabila perlu memastikan kebajikan serta keperluan rohani peserta lain turut terpelihara.

"Selalu pergi jaga diri sendiri, tapi sekarang masanya untuk belajar erti sebenar menjaga diri," luahnya jujur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hayya Travel & Tour kerana memberikan kepercayaan dan ruang kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai mutawif wanita, satu peranan yang menuntut keikhlasan yang tinggi.

"Terima kasih @hayyatraveltours atas ruang dan peluang ini," katanya lagi.

Dalam masa sama, Wan Sharmila memaklumkan perancangannya untuk mengendalikan Umrah Syawal, selain mengajak orang ramai yang berminat untuk turut serta menyahut seruan ke Tanah Suci. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram