Lebih 200 graduan perubatan rai majlis graduasi di tengah runtuhan perang Gaza, 'bangkit' capai cita-cita


  • Sukses
  • Selasa, 06 Jan 2026

Lebih 200 graduan dari Fakulti Perubatan diraikan pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Semenanjung Gaza baru-baru ini. — Agensi

DI sebalik runtuhan bangunan dan peperangan yang berlaku, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza membuktikan bahawa cita-cita dan ilmu tidak pernah musnah.

Buktinya, seramai 230 graduan Fakulti Perubatan dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam diraikan dalam satu majlis graduasi penuh simbolik yang diadakan di tengah-tengah kemusnahan akibat konflik berpanjangan negara terbabit.

Para graduan tersebut dikenali sebagai 'Kelas Phoenix 2025' sebagai satu gelaran yang sarat dengan makna kebangkitan, ketahanan dan keazaman untuk terus berkhidmat kepada kemanusiaan.

BACA LAGI: Hargai isteri walau dah berpisah, Chef Wan terus jaga kebajikan arwah, bagi 'elaun' setiap bulan

BACA LAGI: 'Endra tidur berdengkur ingatkan normal', anak Eyra Hazali alami tonsil bengkak 'stage' 4, tutup saluran pernafasan

Majlis graduasi bersejarah itu berlangsung di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar Gaza yang telah musnah teruk dan diserbu sebanyak dua kali sepanjang pencerobohan Israel.

Pemilihan lokasi tersebut bukan kebetulan, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa ilmu dan nilai kemanusiaan tetap subur walaupun di tengah-tengah kehancuran.

Sepanjang tempoh pengajian, kesemua graduan berdepan pelbagai cabaran luar biasa, termasuk pengeboman berterusan, kehilangan ahli keluarga serta sektor kesihatan dan pendidikan yang sentiasa terganggu..

Namun, semua dugaan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan pendidikan dan bergelar doktor.

Majlis yang ditaja oleh Samir Foundation itu menjadi bualan hangat di laman sosial yang rata-ratanya mengagumi semangat kesemua graduan dalam menuntut ilmu ke menara gading.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut dihiasi gambar pelajar perubatan yang gugur syahid, di bawah slogan, 'Mereka bersama kami di jalan perjuangan, tetapi bukan di podium graduasi'.

Salah seorang graduan, Ezz El-Din Lulu berkongsi kisah pilu perjalanannya menamatkan pengajian apabila mendedahkan dirinya kehilangan 20 ahli keluarga termasuk bapanya yang sehingga kini mayatnya masih tertimbus di bawah runtuhan.

"Kehilangan itu amat menyakitkan, tetapi ia tidak menghalang saya untuk menamatkan pendidikan," katanya.

Bagi Raghad Hassouna, nama Phoenix bukan sekadar simbol, tetapi ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan.

"Kami bangkit daripada penderitaan dan kemusnahan, daripada cabaran perang yang besar dengan azam yang lebih kuat untuk terus hidup berjaya," ujarnya.

Seorang lagi graduan, Dr. Alaa Zaqout dari Universiti Islam berkata, tempoh pengajiannya bertepatan dengan perang tragis yang menghancurkan keluarga dan  institusi pendidikannya.

"Kesan psikologi itu sangat berat, namun ia hanya menguatkan semangat saya untuk menamatkan pengajian perubatan," katanya sambil mendedahkan pengajiannya tertangguh hampir enam bulan akibat konflik peperangan.

Sementara itu, Dr. Reham Al-Souri dari Universiti Al-Azhar menjelaskan bahawa beliau terpaksa menjalani latihan dalam keadaan yang amat berbahaya dengan sumber terhad akibat pengepungan serta kemusnahan infrastruktur kesihatan.

Malah, gangguan elektrik dan internet, kesukaran pengangkutan serta latihan yang tidak menentu menjadi rutin hariannya ketika bertugas di Hospital Syuhada Al-Aqsa.

Di Gaza, majlis graduasi ini bukan sekadar penutup kepada perjalanan akademik, tetapi ia juga merupakan simbolik terhadap hak kemanusiaan.

Biarpun di tengah-tengah kemusnahan dan zon peperangan, graduan doktor dilahirkan tetap bersedia menyembuhkan luka, berkhidmat kepada masyarakat dan menghidupkan semula harapan masyarakat di Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram