SEORANG jurutera dari Jerman mencipta sejarah apabila menjadi wanita berkerusi roda pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke angkasa lepas.
Ia sekali gus merealisasikan impian yang disangka mustahil selepas tujuh tahun hidup dengan kecacatan akibat kemalangan.
Michaela Benthaus, 33, berpeluang 'meninggalkan' kerusi roda buat seketika apabila badannya terapung bebas di angkasa, hasil penerbangan suborbit Blue Origin yang dilancarkan dari West Texas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
BACA LAGI: Dr Syeikh Muszaphar syukur anak ke-2 ditawarkan ke SBP, berjaya bahagi masa akademik dan sukan
Benthaus mengalami kecederaan saraf tunjang yang teruk selepas terlibat dalam kemalangan basikal tujuh tahun lalu, menyebabkan beliau tidak lagi mampu berjalan dan bergantung penuh pada kerusi roda.
Namun, tragedi tersebut tidak memadamkan impian besarnya untuk meneroka angkasa.
Malah, Benthaus kini dikenali sebagai pengguna kerusi roda pertama di dunia yang berjaya mengembara ke angkasa lepas, satu pencapaian luar biasa dalam sejarah penerbangan angkasa komersial.
Kapsul New Shepard yang dinaikinya terbang lebih 65 batu dari permukaan Bumi dalam penerbangan berdurasi kira-kira 10 minit, termasuk lebih tiga minit pengalaman tanpa sebarang bebanan.
Penerbangan bersejarah itu turut disertai lima penumpang lain, termasuk bekas eksekutif kanan SpaceX, Hans Koenigsmann yang juga berasal dari Jerman.
Koenigsmann memainkan peranan penting dalam membantu mengatur dan menaja perjalanan Benthaus bersama Blue Origin, walaupun kos sebenar tiket tidak didedahkan.
Menurut Blue Origin, hanya sedikit pengubahsuaian diperlukan bagi menyesuaikan kapsul dengan keperluan Benthaus.
Jake Mills, jurutera Blue Origin yang melatih kru dan membantu operasi pelancaran, menjelaskan kapsul tersebut direka secara autonomi dengan mengambil kira aspek aksesibiliti untuk pelbagai keupayaan fizikal, berbeza daripada penerbangan angkasa tradisional.
Demi Benthaus, syarikat itu menambah papan pemindahan khas bagi memudahkannya bergerak antara kapsul dan tempat duduk.
Malah, selepas pendaratan dilakukan, pasukan pemulihan turut membentangkan permaidani di atas permukaan padang pasir bagi membolehkannya kembali ke kerusi roda dengan segera.
Dalam pada itu, Benthaus juga menjalani latihan rapi sebelum penerbangan, termasuk simulasi bersama Koenigsmann yang terlibat dalam reka bentuk dan ujian misi.
Sebuah lif khas turut disediakan di pad pelancaran untuk memudahkannya naik ke kapsul yang terletak kira-kira tujuh tingkat di atas roket.
Sementara itu, latar belakang akademik Benthaus juga mencerminkan minat mendalamnya dalam bidang angkasa dan dia merupakan sebahagian daripada program pelatih siswazah Agensi Angkasa Eropah (ESA) di Belanda.
Kurang dua tahun kemudian, dia sekali lagi mengambil langkah berani apabila menyertai misi simulasi angkasa selama dua minggu di Poland.
"Saya tidak pernah terfikir bahawa menyertai penerbangan angkasa lepas akan menjadi pilihan kerana walaupun sebagai orang yang sangat sihat, ia sangat kompetitif.
"Tiada sejarah orang kurang upaya terbang ke angkasa lepas," katanya.
Namun, peluang itu nyata benar dan Benthaus segera bersetuju menyertai misi persendirian berkenaan yang tidak melibatkan ESA secara langsung.
Ia berlaku pada tahun sama ESA meluluskan angkasawan simpanan John McFall, seorang calon yang dijadual melakukan penerbangan masa depan ke Stesen Angkasa Antarabangsa.
Berbeza dengan McFall yang menggunakan kaki prostetik dan mampu bergerak sendiri dalam situasi kecemasan, Benthaus memerlukan bantuan penuh akibat kecederaan saraf tunjang.
Walaupun menerima banyak sokongan positif, Benthaus mengakui masyarakat luar masih belum sepenuhnya inklusif terhadap golongan kurang upaya.
Baginya, misi ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi langkah awal ke arah membuka lebih banyak peluang golongan OKU melakukan perkara sama.
"Saya benar-benar berharap ia membuka ruang untuk orang seperti saya dan ini hanyalah permulaan," katanya.
Selain Koenigsmann, Benthaus turut berkongsi kapsul dengan seorang eksekutif perniagaan, pelabur dan saintis komputer, menjadikan jumlah keseluruhan pengembara angkasa Blue Origin kini mencecah 86 individu.
Untuk rekod, Blue Origin diasaskan oleh jutawan Amazon, Jeff Bezos pada 2000 dan memulakan penerbangan angkasa penumpang pada 2021.
Syarikat itu kini giat membangunkan roket New Glenn untuk misi orbit serta merancang penghantaran pendarat ke bulan, sekali gus menandakan era baharu penerokaan ruang angkasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
