DALAM dunia pendidikan, kejayaan seorang murid tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui nilai adab dan akhlak di alam persekolahan.
Ada kenangan dan doa yang terus hidup dalam ingatan seorang pendidik, malah kekal tersimpan jauh di sudut hati walaupun bertahun telah berlalu.
Itulah yang dizahirkan oleh seorang guru apabila luahannya tentang bekas murid tersayang mengundang perhatian ramai di media sosial.
BACA LAGI: Bapa gigih cari rezeki sebagai badut nak kumpul RM2,000, anak dapat tawaran masuk asrama di Perak
Perkongsian menyentuh hati itu dibuat oleh pengguna Threads, qualitativenrn yang mengakui setiap guru pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang murid yang meninggalkan kesan mendalam.
Baginya, murid bernama Afrina merupakan antara insan istimewa yang sentiasa dikenang sehingga hari ini.
Menurutnya, Afrina bukan sekadar seorang murid yang bijak, malah memiliki adab yang baik dan personaliti yang menyenangkan.
Lebih menyentuh perasaan, guru berkenaan turut berkongsi kenangan ketika gambar lama mereka diambil sewaktu beliau sedang mengandungkan anak sulungnya.
Dalam diam, terlintas di hati satu doa agar anak yang bakal dilahirkan kelak dikurniakan kebijaksanaan dan kebaikan akhlak seperti Afrina.
"Setiap guru mesti ada anak murid yang beri kesan di hati dia bagi saya, Afrina salah seorang daripadanya.
"Anak murid yang bijak, beradab dan amat menyenangkan masa gambar ni diambil, saya tengah mengandungkan anak pertama, dalam hati sempat terdetik, moga-moga anak saya yang lahir nanti sebijak dan sebaik Afrina," ujarnya.
Walaupun sudah lama tidak berhubung, guru tersebut tetap menitipkan doa agar bekas muridnya itu terus berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Beliau turut meluahkan harapan agar diberi rezeki untuk bertemu semula suatu hari nanti, sama ada di alam nyata mahupun sekadar bertegur sapa di media sosial.
"Di mana pun Afrina berada, teacher doakan semoga terus berjaya.
"Moga ada rezeki juga kita berjumpa suatu hari nanti tak di alam realiti, di Threads pun jadilah,” tulisnya, sambil menyatakan kenangan itu sekitar 2005 hingga 2006.
Perkongsian tersebut nyata mendapat sambutan luar jangkaan daripada warga maya.
Guru berkenaan mengakui tidak menyangka luahan ringkas itu menerima begitu banyak maklum balas yang positif dan penuh kata-kata manis.
Dalam satu hantaran berasingan, beliau memaklumkan tidak sempat membalas setiap komen kerana kekangan masa, namun menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas doa diterima.
Setakat kemas kini terakhir sekitar pukul 8.25 pagi, guru berkenaan masih belum berjaya menjejaki Afrina.
Namun, beliau tetap optimis dan percaya bahawa bekas muridnya itu semakin 'hampir', seolah-olah hanya menunggu waktu untuk pertemuan semula.
Perkongsian itu sekali gus mencerminkan betapa besarnya peranan seorang guru dalam membentuk kehidupan anak murid.
Biarpun masa terus berlalu, jasa dan kasih sayang seorang pendidik mampu meninggalkan kesan yang berkekalan walaupun usai tamat alam persekolahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
