PERKAHWINAN yang berakhir dengan perceraian tidak semestinya memutuskan nilai hormat, tanggungjawab dan kemanusiaan terhadap bekas pasangan.
Prinsip itu jelas dipegang oleh cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, yang berkongsi kisah kehidupannya selepas berpisah termasuk komitmen menjaga kebajikan bekas isteri dan anak-anaknya.
Menerusi luahan peribadi yang dikongsikan di laman sosial, Chef Wan mengakui fasa selepas perceraian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kasih sayangnya terhadap anak-anak tidak pernah berubah.
Menceritakan detik-detik bermakna dalam kehidupan berkeluarga, pemilik rangkaian restoran De Wan itu sering menjadikan hujung minggu sebagai momen bersama seisi keluarga seperti mengemas rumah, memandikan anak-anak dan ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak oleh isterinya ketika itu.
Menurutnya, bekas isterinya seorang wanita yang pandai memasak dan sentiasa berusaha menyenangkan hati suami, selain diakui ramai sebagai seorang suri rumah yang baik.
Namun, beliau tidak menafikan wujud cabaran dalam rumah tangga mereka, khususnya berkaitan sifat cemburu melampau bekas isterinya.
Jelasnya, sifat itu sering menimbulkan salah faham, termasuk apabila beliau pulang lewat dari tempat kerja kerana urusan perniagaan dan penghantaran produk kepada pelanggan.
Bahkan, situasi tersebut membuatkan bekas isterinya sering beranggapan beliau mempunyai hubungan bersama wanita lain.
"Balik pejabat lambat pun kejap-kejap dia call di office suruh balik takut agaknya laki dia di curi orang.
"Habis bank pun kena hantar sale products amway to avon cosmetic to clients tentu balik lewat, ingatnya saya ada betina lain di luar itu.
"Padahal tidak, saya berani bersumpah atas Al quran sampai la hari ini she the only woman i have ever slept in my life, saya jenis lurus nak buat tak senonoh dulu ni pun kena fikir 10,000 kali apa lagi dah tua ini," ujarnya.
Seiring kematangan usia, Chef Wan mengakui dirinya cuba menjadi insan yang lebih baik.
Atas dasar simpati dan rasa tanggungjawab, beliau mengambil keputusan untuk terus menjaga kebajikan bekas isterinya yang tidak pernah bekerja sepanjang perkahwinan mereka.
Katanya, beliau memberi jaminan akan memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terpelihara sehingga akhir hayatnya.
Lebih mengejutkan, Chef Wan turut mendedahkan bahawa beliau pernah menggalakkan bekas isterinya untuk mencari kebahagiaan baharu dan beliau sanggup menaja perkahwinan serta pakej berbulan madu sekiranya bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain.
Namun, jawapan yang diterima amat menyentuh perasaan apabila wanita itu menyatakan kesetiaannya dan mengakui sukar untuk mencari insan yang memiliki hati sepertinya.
"Saya pernah tanya dia awak tu cantik lagi cari la jodoh balik nanti saya taja wedding to even your honeymoon.
"She said malas saya nak cari laki lagi cari sejuta pun tak akan jumpa hati macam awak, mana la tahu satu hari awak akan maaf kan yang sudah-sudah saya sanggup terima awak balik Wan.
"Begitu la sayang dan harapan dia menanti saya sampai ke hujung nyawa, she also said lelaki baru tu belum tentu boleh kasi kemewahan yang awak kasi saya Wan," tambahnya.
Mengakhiri perkongsian, bapa kepada dua cahaya mata itu menegaskan bahawa beliau percaya masa lalu tidak boleh diubah.
Sebaliknya, memaafkan dan tidak menyimpan dendam adalah jalan terbaik untuk hidup dengan tenang kerana menurutnya, setiap manusia mempunyai kelemahan tersendiri dan kematangan sebenar hadir apabila seseorang belajar berdamai dengan masa silam.
Untuk rekod, bekas isterinya, Norhayate Ayub meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi buah pinggang dan jantung pada Mac 2020.
Berdasarkan perkongsian Chef Wan sebelum ini, perkahwinan mereka diaturkan oleh kedua belah keluarga dan ketika itu dia berusia 22 tahun, manakala isterinya pula 19 tahun.
Meskipun rumah tangga hanya mampu bertahan selama 4 tahun sahaja, namun Chef Wan menjelaskan dia sudah berjanji di hadapan bekas isterinya bahawa dia akan menjaga kebajikannya sehingga ke akhir hayatnya kerana baginya wanita itu adalah ibu kepada anak-anaknya juga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
