'Selamat datang ke Jepun', wanita kongsi pengalaman bermalam di balai polis, siap dapat nota dalam bahasa Melayu


  • Bonda
  • Rabu, 31 Dis 2025

Sebuah keluarga terpaksa berteduh semalaman di sebuah balai polis selepas tertinggal tren. — Gambar hisan/Janaan AI

PENGALAMAN melancong ke luar negara lazimnya diisi dengan aktiviti dan perancangan rapi bagi mendapatkan momen terindah bersama seisi keluarga.

Namun, ada kalanya perkara tidak diduga menjadikan percutian lebih bermakna untuk dikenang seumur hidup.

Situasi itu dialami oleh sebuah keluarga dari Malaysia apabila percutian pertama mereka ke Jepun bertukar menjadi pengalaman luar biasa selepas terpaksa bermalam di sebuah balai polis di sana.

BACA LAGI: Bapa gigih cari rezeki sebagai badut nak kumpul RM2,000, anak dapat tawaran masuk asrama di Perak

BACA LAGI: 'Endra tidur berdengkur ingatkan normal', anak Eyra Hazali alami tonsil bengkak 'stage' 4, tutup saluran pernafasan

Perkara itu dikongsikan oleh pengguna Threads, suehanana_08 yang menceritakan detik tidak dapat dilupakan sepanjang percutian bersama suami dan empat orang anak di negara 'matahari terbit' tersebut.

Kejadian berlaku sebaik salah satu beg bagasi keluarganya tertinggal di Lapangan Terbang Osaka dan ia hanya disedari selepas mereka menaiki kereta api laju Shinkansen menuju ke Tokyo.

Situasi menjadi lebih rumit apabila mereka sekeluarga tersalah menaiki tren, menyebabkan pasangan suami isteri itu terpisah seketika di negara asing yang baru pertama kali dikunjunginya.

"Laki aku pesan kalau dia tak sempat kejar tren tu dia suruh aku anak beranak naik dulu sampai Tokyo.

"Kita ni manja sedih la laki tertinggal, rupanya dia sempat je naik bullet tren tapi kitorang yang tersalah naik tren then decide jumpa kat tengah-tengah.

"Bayangkan dah la kali pertama sampai Jepun tu tapi kitorang laki bini tak gaduh masing-masing gelak je," ujarnya.

 

 

Mereka akhirnya bersetuju untuk bertemu semula di Shin-Osaka dan membeli tiket Shinkansen yang baharu.

Namun, malang menimpa apabila kaunter pembelian tiket telah ditutup kerana operasi tren malam di Jepun berakhir lebih awal dan menyebabkan mereka sekeluarga terkandas bersama semua bagasi tanpa tempat berteduh.

Cubaan mencari hotel murah di sekitar kawasan tersebut juga tidak berhasil kerana kekangan bajet serta kebimbangan untuk terlepas tren pertama seawal pukul 6 pagi keesokan harinya.

Dalam usaha mencari tempat berlindung sementara, si isteri ternampak sebuah bangunan kosong tetapi mempunyai kerusi di dalamnya tanpa sebarang papan tanda yang jelas.

Mereka memutuskan untuk masuk sekadar berteduh daripada kesejukan, sebelum menyedari bangunan tersebut sebenarnya adalah sebuah balai polis.

"Masa duduk luar tu aku cuba la pusing kot ada kedai yang buka 24 jam ke, jumpa la aku satu kedai kosong yang takda apa-apa tapi ada kerusi kat dalam.

"Dengan takda papan tanda ke apa aku cakap laki aku jom kita masuk sini berteduh sementara tunggu esok pagi.

"Sekali rupanya itu balai polis wei, polisnya duduk kat dalam bilik lain ada satu pintu kecik kat tepi tu tak perasan, dia pun keluar tanya ada apa, borak la macam ayam itik," tambahnya.

Kehadiran mereka disedari oleh seorang pegawai polis yang kemudiannya keluar bertanyakan tujuan mereka.

Walaupun berdepan kekangan bahasa, perbualan dapat diteruskan dengan bantuan alat penterjemah ke bahasa Inggeris.

Hasil perbincangan bersama rakan setugas, pegawai berkenaan membenarkan keluarga itu bermalam di balai polis memandangkan mereka akan beredar awal pagi.

Malah, mereka turut diberikan selimut serta memasang penghadang bagi memastikan privasi dan keselamatan keluarga tersebut sepanjang malam.

Lebih menyentuh hati, keesokan paginya keluarga itu menemukan sekeping nota ditinggalkan di atas meja oleh anggota polis berkenaan, tertulis ucapan "Selamat datang ke Jepun" dalam bahasa Melayu.

Biarpun percutiannya tidak berjalan lancar seperti dirancang, ia kekal meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram