Petua tradisi turun-temurun, senaman ringan dan minuman kelapa bantu mudahkan proses bersalin


  • Bonda
  • Sabtu, 27 Dis 2025

Segelintir masyarakat masih mengamalkan petua tradisional bagi memudahkan urusan ibu bersalin. — Gambar hiasan/Janaan AI

AMALAN dan petua tradisional berkaitan kehamilan serta proses bersalin masih menjadi pegangan sebahagian masyarakat Melayu hingga ke hari ini. 

Walaupun dunia perubatan moden semakin berkembang, kepercayaan orang terdahulu terus diamalkan sebagai ikhtiar tambahan bagi membantu ibu hamil melalui proses kelahiran dengan lebih tenang khususnya dari segi fizikal dan emosi.

Berdasarkan kepercayaan turun-temurun, terdapat beberapa amalan yang sering disarankan untuk dilakukan sebelum dan semasa kehamilan. 

BACA LAGI: 'Saya pastikan Qaseh bangga dengan babanya', isteri tak segan suami kerja sebagai pemungut sampah, penting rezeki halal

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

Sebelum dan selepas bersalin

Antaranya ialah pengambilan air kelapa muda yang dipercayai dapat membantu membersihkan rahim serta melicinkan laluan bayi ketika bersalin. 

Selain itu, ibu hamil juga digalakkan untuk kekal aktif dengan pergerakan ringan seperti berjalan perlahan, melakukan senaman atau naik turun tangga mengikut kemampuan. 

Berdasarkan fahaman dan kepercayaan masyarakat terdahulu, badan yang kerap bergerak dikatakan lebih mudah melalui proses pembukaan semasa bersalin.

Dalam masa sama, ibu hamil dinasihatkan agar mengelakkan daripada mengangkat barang berat kerana perbuatan tersebut dikatakan boleh menyebabkan urat menjadi tegang dan seterusnya menyukarkan proses melahirkan. 

Urutan lembut di bahagian perut dan pinggang juga antara amalan yang biasa dilakukan, khususnya oleh bidan kampung bagi membantu melegakan urat badan si ibu.

Senaman ringan berupaya membantu melegakan urat dan sendi badan ibu hamil. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

 

Amalan pemakanan tradisi

Dari sudut pemakanan, masyarakat terdahulu turut mengamalkan beberapa minuman dan pantang larang tertentu. 

Air rebusan daun sirih misalnya dipercayai dapat menyokong kekuatan rahim dan membantu proses bukaan. 

Air kunyit hidup pula diminum dalam kuantiti kecil dengan kepercayaan ia dapat melancarkan aliran darah. 

Selain itu, ibu hamil sering dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang dianggap 'berangin' seperti nangka, rebung dan ubi kayu kerana dipercayai boleh menyebabkan perut menjadi tidak selesa.

Namun begitu, aspek rohani dianggap paling utama dalam menghadapi proses kehamilan dan kelahiran. 

Amalan zikir

Orang lama sangat menekankan amalan zikir dan selawat yang dilakukan secara berterusan sebagai sumber ketenangan serta kekuatan dalaman. 

Antara zikir yang sering diamalkan ialah istighfar untuk menenangkan jiwa, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang diyakini membawa pertolongan ALLAH serta bacaan HasbiALLAH ketika perasaan takut atau tidak tenang melanda.

Selain itu, Surah Maryam digalakkan dibaca dengan harapan agar ALLAH mempermudahkan proses kelahiran sebagaimana kisah kelahiran Nabi Isa a.s. 

Doa Nabi Yunus juga perlu diamalkan khususnya ketika berdepan kesakitan, kegelisahan atau saat hampir bersalin, sebagai tanda penyerahan diri kepada Tuhan.

Petua psikologi

Dari sudut psikologi, orang terdahulu percaya emosi ibu memberi kesan besar terhadap kelancaran bersalin. 

Oleh itu, ibu hamil disarankan untuk mengawal emosi, menjauhi perasaan marah dan tekanan serta sentiasa berada dalam keadaan tenang. 

Rehat yang mencukupi juga dianggap penting bagi memastikan tubuh mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menghadapi proses meneran.

Walaupun petua-petua tersebut berasaskan kepercayaan tradisional, ramai yang masih mengamalkannya sebagai usaha sokongan di samping mendapatkan nasihat dan rawatan daripada profesional kesihatan. 

Gabungan persediaan fizikal, emosi dan rohani dilihat sebagai pendekatan menyeluruh dalam menghadapi detik penting kelahiran bayi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram