Sempena 'anniversary' ke-50, Nicol David bawa ibu bapa ronda Pulau Pinang


  • Bonda
  • Sabtu, 27 Dis 2025

Nicol David meraikan ulang tahun perkahwinan ke-50 ibu bapanya di beberapa lokasi menarik sekitar Pulau Pinang.

LEGENDA ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, berkongsi momen istimewa apabila membawa ibu bapanya bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang sempena ulang tahun perkahwinan ke-50 pasangan tersebut.

Menerusi hantaran di Instagram, Nicol memaklumkan beliau mengambil kesempatan meraikan detik bermakna itu dengan membawa ibu bapanya, Ann dan Desmond David, menikmati suasana di Pulau Pinang, termasuk mengunjungi kawasan seni mural terkenal, Penang Street Art.

Lebih bermakna, lawatan tersebut merupakan kali pertama ibunya menjejakkan kaki ke lokasi seni berkenaan.

BACA LAGI: Dr Syeikh Muszaphar syukur anak ke-2 ditawarkan ke SBP, berjaya bahagi masa akademik dan sukan

BACA LAGI: 'Saya pastikan Qaseh bangga dengan babanya', isteri tak segan suami kerja sebagai pemungut sampah, penting rezeki halal

Menurutnya, momen bersama keluarga merupakan perkara yang paling dihargainya dalam kehidupannya.

 

 

Menyifatkan ulang tahun perkahwinan selama lima dekad itu sebagai satu tempoh luar biasa, ia sekali gus menjadi bukti keteguhan hubungan ibu bapanya dalam mengharungi pelbagai cabaran hidup bersama.

"Perkahwinan selama 50 tahun jarang ditemui dan ibu bapa saya, Ann dan Desmond adalah bukti sebenar bahawa walau apa pun yang berlaku, mereka akan mengharungi apa sahaja bersama-sama.

"Keluarga kami dibina dengan penuh kasih sayang, penjagaan dan sokongan antara satu sama lain dan itu datang daripada kedua-dua ibu bapa saya yang sentiasa mewujudkan persekitaran penyayang untuk keluarga kami," ujarnya dalam hantaran berasingan.

Nicol dalam masa sama turut meluahkan rasa bangga terhadap kedua ibu bapanya yang disifatkan sebagai tonggak utama pembentukan keluarga yang penuh kasih sayang yang saling menyokong satu sama lain.

Merakamkan ucapan selamat ulang tahun perkahwinan ke-50 kepada ibu dan ayahnya, kedua-dua insan itu menurutnya merupakan sosok penting segala pencapaian dikecapi hari ini.

"Selamat ulang tahun ke-50 ibu dan ayah dan saya benar-benar berbangga dengan anda berdua atas peristiwa penting yang menakjubkan ini! Sayang semua sangat," tambahnya.

Perkongsian tersebut dibanjri pelbagai komen positif daripada pengikut yang tersentuh dengan keakraban dan keharmonian keluarga legenda sukan tanah air itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram