BARANGAN peribadi seperti pakaian mungkin kelihatan tidak bernilai.
Namun hakikatnya, semua harta yang ditinggalkan seseorang yang sudah meninggal dunia termasuk barangan peribadi dan keperluan harian tetap dikategorikan sebagai harta pusaka.
Menurut Perunding Pewarisan Harta Islam, Fazli Mazlan, setiap harta peninggalan si mati, sama ada bernilai besar atau kecil tetap dikira tertakluk kepada hukum faraid.
BACA LAGI: Selalu tanam tak subur, rupanya ada teknik terbaik jaga pokok kaktus dalam rumah

Setiap harta sama ada besar atau kecil nilainya perlu diuruskan mengikut hukum faraid. — Gambar hiasan
Katanya, niat baik seperti bersedekah juga perlu dilakukan mengikut kaedah yang betul supaya tidak menjejaskan hak waris dan pahala yang diharapkan sampai kepada si mati.
Beliau pada masa sama mengulas persoalan seorang suami yang kematian isteri dan meninggalkan sebanyak 164 helai tudung, sedangkan pasangan itu hanya mempunyai dua orang anak lelaki.
"Selagi arwah tidak sedekahkan atau hibahkan semasa hidup, harta itu bukan milik sesiapa secara automatik selepas kematian.
"Apabila isteri meninggal dunia, suami dan anak-anak adalah waris faraid.
"Ini bermakna, tudung-tudung tersebut perlu masuk dalam senarai pusaka, dinilai secara keseluruhan dan bahagiannya ditentukan mengikut hukum faraid.
"Walaupun anak-anak lelaki tidak akan memakainya, hak mereka tetap wujud dari sudut pemilikan, bukan dari sudut kegunaan," jelasnya.
Tambahnya, tindakan suami menyedekahkan semua tudung tersebut tanpa persetujuan anak-anak boleh menimbulkan isu dari sudut hukum.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa langkah yang tepat adalah dengan menyelesaikan terlebih dahulu urusan pusaka termasuk melangsaikan hutang arwah.
"Jika semua waris bersetuju untuk sedekahkan tudung-tudung tersebut, barulah sedekah itu sah dan berpahala untuk arwah.
"Atau jika anak-anak serahkan bahagian mereka kepada ayah, barulah ayah boleh sedekahkan sebagai pemilik sah.
"Dalam Islam, niat baik mesti berjalan seiring dengan cara yang betul, supaya pahala sampai dan hak waris tidak terambil," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
