Tersergam bak istana rumah Melayu-Kemboja, pintu gerbang putih, tembok 'emas' alu-alukan kunjungan tetamu


  • Hias
  • Khamis, 25 Dis 2025

Tangkap layar video memaparkan reka bentuk rumah di Kemboja yang mewah.

REKAAN dan seni bina bagi struktur sesebuah rumah mampu menjadi lambang kepada identiti dan status pemiliknya.

Dalam dunia seni bina moden, kediaman juga bukan lagi sekadar tempat berteduh, malah mencerminkan nilai budaya, tahap ekonomi dan kehalusan estetika yang ingin ditampilkan.

Pemilihan konsep dan perincian hiasan dalaman turut memainkan peranan penting dalam membentuk karakter sesebuah rumah.

BACA LAGI: Selalu tanam tak subur, rupanya ada teknik terbaik jaga pokok kaktus dalam rumah

BACA LAGI: Mak dah meninggal, mak mentua jaga ramai cucu, wanita prep makanan beku untuk berpantang sebelum bersalin

Begitu juga dengan seni bina rumah milik kakak kepada pempengaruh media sosial dan pengasas produk kecantikan, Siti Nor Haliza yang mempunyai kacukan Melayu-Kemboja.

Dalam video dikongsikan di Instagramnya ketika singgah di rumah kakaknya di Kemboja baru-baru ini, gabungan elemen tradisional dan moden kediaman mewahnya jelas menggambarkan penghargaan terhadap warisan masyarakat Kemboja.

Sebelum melangkah masuk, para tetamu disambut di pintu gerbang putih dan tembok rona keemasan yang ikonik.

Menariknya, bahagian luar rumah banglo tersebut didominasi warna putih dengan perincian emas sekali gus memberikan suasana seperti di istana Diraja.

Tingkap-tingkap besar berbingkai keemasan membolehkan cahaya matahari masuk ke dalam rumah dan menyerlahkan lagi kemasan cat yang berkilat.

Halaman rumah juga dilengkapi dengan kolam renang yang luas secara tidak langsung mewujudkan suasana tenang dan santai.

Siti pada masa sama sempat menunjukkan ruang dalaman rumahnya yang memiliki lebih lima buah bilik.

Istimewanya, majoriti perabot yang digunakan adalah daripada kemasan kayu jati berkualiti tinggi.

Pemilihan rona coklat kayu jati keemasan pada syiling dan dinding turut menambah lagi elemen mewah.

Bukan itu sahaja, ruang solat yang luas dan dihiasi dengan kaligrafi Islamik pada dinding menjadi tarikan utama di dalam rumah tersebut.

Keluasan ruang dapurnya juga menunjukkan bahawa rumah berkenaan direka untuk keselesaan seisi keluarga berkumpul dan menjamu selera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram