KES pertunangan atau perkahwinan yang diputuskan secara mengejut bukan lagi perkara asing dalam kalangan masyarakat.
Ia bagaimanapun mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap pihak teraniaya termasuk seluruh ahli keluarga.
Dalam sesetengah keadaan, tindakan undang-undang menjadi pilihan terakhir bagi menuntut keadilan apabila penyelesaian secara baik gagal dicapai.
BACA LAGI: 'Ustazah Alawiyatun chill, kelakar', bekas pelajar imbau kenangan belajar dalam kelas ibu Kamal Adli

Tindakan undang-undang diambil sebagai jalan penyelesaian akhir. — Gambar hiasan
Berdasarkan pengalaman seorang wanita yang dikongsikan menerusi akaun Threads @_nuamiraaa, perkara sama turut dilakukan apabila pertunangannya diputuskan pada Ogos lalu.
"Saya diputuskan tunang tiga minggu sebelum majlis perkahwinan tanpa sebab.
"Tak ada seorang pun pihak lelaki datang untuk minta maaf dan putuskan secara baik.
"Bekas tunang cuma maklum dia tak bersedia lagi nak kahwin tetapi pada masa sama ada perempuan lain," katanya.
Mengakui kecewa dengan kejadian tersebut, wanita itu kemudiannya memilih untuk tidak berlarutan dalam kesedihan.
Sebaliknya, beliau mengambil langkah undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan (LOD) melalui peguam kepada pihak lelaki.
Menurutnya, tindakan tersebut bukanlah hanya menuntut wang semata-mata, sebaliknya bagi mempertahankan maruah dirinya dan keluarga.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila ibunya dilaporkan jatuh sakit selepas mengetahui pertunangan itu dibatalkan.
Beliau juga menyatakan hasrat agar tindakan undang-undang yang diambil dapat dijadikan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang kepada wanita lain.
Dalam perkembangan terbaharu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa satu persetujuan sudah dicapai apabila kedua-dua pihak bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian.
"Alhamdulillah, pihak lelaki akan bayar RM18,000 daripada RM34,000 secara ansuran bermula April 2026.
"Harapnya perjanjian dapat dilaksanakan, terima kasih kepada peguam, keluarga, rakan dan semua yang mendoakan.
"Untuk wanita-wanita yang teraniaya, bangkitlah dengan cara yang betul," jelasnya.
Tambahnya, jumlah asal RM34,000 adalah termasuk tuntutan khas seperti saman malu.
Sementara itu, peruntukan tentang pertunangan juga diperuntukkan di bawah undang-undang syariah di Malaysia iaitu Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Pihak ingkar boleh diarahkan memulangkan hantaran atau nilainya serta membayar ganti rugi bagi perbelanjaan perkahwinan yang sudah dibuat dengan niat baik, tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
