Hilang sebelah kaki akibat serangan peluru, atlet gimnastik usia 9 tahun jadi ikon lepas menang pingat gangsa


  • Sukses
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Persembahan Oleksandra Paskal tetap bertenaga meskipun menggunakan kaki palsu. — Agensi

KEHILANGAN sebelah kaki akibat serangan peluru berpandu pada Mei 2022 tidak memadamkan impian Oleksandra Paskal.

Atlet gimnastik cilik berasal dari Ukraine itu bangkit mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat gangsa di Piala Rizatdinova 2025 baru-baru ini.

Kejayaan Oleksandra atau mesra dipanggil Sasha pada kejohanan itu juga dianggap sebagai simbol ketabahan luar biasa.

BACA LAGI: 'Ustazah Alawiyatun chill, kelakar', bekas pelajar imbau kenangan belajar dalam kelas ibu Kamal Adli

BACA LAGI: Tersergam bak istana rumah Melayu-Kemboja, pintu gerbang putih, tembok 'emas' alu-alukan kunjungan tetamu

 

 

 

Ia sekali gus membuktikan bahawa semangat juang mampu mengatasi trauma fizikal paling dahsyat.

Penganjur kejohanan menyifatkan Sasha sebagai 'wajah sebenar' bagi Piala Rizatdinova 2025.

Berdasarkan laporan agensi, pihak penganjur turut memuji keberaniannya serta mengucapkan terima kasih kepada keluarga termasuk jurulatihnya, Inga Kovalchuk kerana membesarkan seorang ikon inspirasi kepada dunia.

Pada 16 Mei 2022, Sasha yang ketika itu baru berusia tujuh tahun dilaporkan cedera parah selepas sebuah pusat rekreasi di wilayah Odesa musnah diserang peluru berpandu.

Beliau juga ditemui tertimbus di bawah runtuhan konkrit dan terpaksa menjalani rawatan kritikal selama 15 hari dalam keadaan koma akibat kecederaan serius termasuk patah tangan, tulang rusuk dan kecederaan kepala.

Menurut ibunya, Mariia, momen paling menyayat hati adalah apabila kakinya dihimpit runtuhan.

"Doktor sudah melakukan yang terbaik, namun kakinya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong," katanya.

Selepas menjalani rawatan dan pemulihan di Austria, Sasha mengejutkan ramai apabila berjaya belajar berjalan menggunakan kaki palsu hanya dalam tempoh dua bulan.

Berbekalkan impian untuk kembali bertanding, Sasha mula menjalani latihan semula pada Mac 2023.

Seperti kebanyakan atlet Ukraine lain, beliau kerap berlatih di tempat perlindungan bawah tanah bagi mengelak ancaman serangan udara yang berterusan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram