
PENAMPILAN dua figura berpengaruh, Puteri Wales, Kate Middleton dan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump, mengatur langkah di Istana Windsor, England ketika menghadiri jamuan yang penuh protokol pada Rabu terus mencuri perhatian.
Malam itu bukan sahaja meraikan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, bahkan disifatkan menjadi 'pentas peragaan' fesyen eksklusif apabila dua wanita ternama itu tampak anggun dan mewah berkelas dunia.
Puteri Wales menyerlahkan keanggunan klasik dengan mengenakan tiara ikonik Lover’s Knot iaitu aksesori sering menjadi pilihan mendiang Puteri Diana.
BACA LAGI: Rumah bernafas dengan bata terracotta, reka bentuk mesra iklim di Vietnam
Gaya Kate (kiri) ketika menyambut ketibaan Melania di Istana Windsor, England.
Tiara berlian dan mutiara yang direka khas untuk Ratu Mary pada 1914 itu dipadankan bersama gaun renda emas ciptaan pereka, Phillipa Lepley.
Setiap perincian pada gaun itu memancarkan kemewahan, daripada sulaman tangan Chantilly renda emas sehinggalah kot dihias bunga mawar dengan benang emas halus dan jahitan satin eksklusif.
Gaya berkolar tinggi itu memberi siluet dramatik yang anggun manakala rambut Kate dibiarkan terurai beralun lembut, menambah sentuhan moden pada keseluruhan penampilan.
Tidak ketinggalan, selempang diraja dan pingat perintah Raja Charles III menjadi kemuncak simbolik bagi momen bersejarah itu.
Sementara itu, Melania pula melangkah penuh yakin dengan gaya yang memadukan keanggunan Eropah dan ketegasan AS.
Tiba di London dengan trench coat Burberry Heritage yang diikat kemas, beliau memberi penghormatan kepada warisan fesyen Britain.
Namun, sorotan utama hadir ketika jamuan negara apabila Melania tampil menawan dalam gaun kuning kanari rekaan Carolina Herrera.
Potongan bahu terdedah dan tali pinggang ungu lembut menonjolkan sisi feminin, manakala anting-anting zamrud dan kasut tumit tinggi rona nude menambahkan sentuhan glamor.
Sejak kembali bergelar Wanita Pertama, Melania lebih cenderung memilih rekaan pereka AS seperti Adam Lippes, Ralph Lauren dan Thom Browne, seolah-olah menyampaikan mesej halus Buy American.
Namun, gaya ikoniknya tetap diperkaya dengan aksesori mewah dari rumah fesyen Eropah seperti Hermès, Manolo Blahnik dan Dior.
Ia menjadikan setiap penampilannya seimbang antara patriotik dan sofistikated.
Putera dan Puteri Wales tiba bergaya untuk majlis penuh istiadat.
Acara malam tersebut membuktikan bahawa fesyen mampu menjadi medium diplomasi yang elegan.
Kate menzahirkan sisi diraja klasik penuh simbolik, manakala Melania pula memperlihatkan gaya moden yang tetap menghormati tradisi.
Kedua-duanya berjaya memancarkan pesona bukan sahaja meraikan hubungan dua negara, tetapi juga mencipta momen fesyen yang akan diingati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram