
SELEPAS menghabiskan masa sehari sebelumnya di Ireland Utara, Putera dan Puteri Wales, William dan Kate Middleton menerima kunjungan rasmi buat pertama kali daripada Putera Hussein dan Puteri Rajwa dari Jordan di Istana Windsor pada Rabu.
Pertemuan dua pasangan diraja Wales tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi Hussein ke Britain yang mana beliau turut menjalankan tugasan bersama William.
Kedua-dua pewaris takhta itu turut melawat pangkalan tentera udara RAF Benson di Oxfordshire untuk bertemu juruterbang dan anggota tentera memandangkan William dan Hussein pernah berkhidmat sebagai juruterbang helikopter.
Bagaimanapun, dalam kunjungan rasmi itu tumpuan ramai lebih terarah kepada penampilan Kate, 43, dan Rajwa berusia 31 tahun menggayakan pakaian stail business chic.
Kate tampil bergaya dalam sut rona coklat muda rekaan Roland Mouret manakala Rajwa pula memilih gaya moden dengan jumpsuit hitam tanpa lengan digayakan bersama kemeja putih Alexander McQueen.
Gayanya disempurnakan dengan kasut tumit runcing berona merah dan beg tangan berwarna hitam.
Lapor agensi, ramai pemerhati fesyen berpendapat pilihan Rajwa itu mungkin satu penghormatan kepada Kate yang juga terkenal dengan hubungan rapat bersama Alexander McQueen, pereka menghasilkan busana perkahwinan ikoniknya pada 2011.
Tambahan pula, hubungan antara keluarga diraja Britain dan Jordan sememangnya akrab sejak dahulu, bahkan William dan Kate menghadiri majlis perkahwinan diraja Hussein dan Rajwa di Amman pada 2023.
Lebih awal daripada itu, pada 2021, keluarga Wales pernah bercuti di Jordan.
Bukan itu sahaja, Kate juga dikatakan mempunyai kaitan istimewa dengan negara Asia Barat berkenaan ketika berusia dua tahun. Beliau pernah tinggal di Amman selama beberapa tahun kerana tuntutan kerja bapanya di sana dan sempat bersekolah tadika di ibu negara Jordan.
Sementara itu, awal minggu ini, sepupu William, Puteri Eugenie turut menemani Rajwa dalam lawatan ke sebuah hospital di London.
Lawatan kali ini menandakan perjalanan rasmi pertama Rajwa ke Eropah sebagai ahli keluarga diraja Jordan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram