
PEWARIS takhta Britain, Putera William memberi penghargaan kepada para pejuang hidupan liar wanita yang bekerja di hutan hujan Amazon, Brazil.
Penghormatan itu juga ditonjolkan dalam episod baharu dalam siri filem dokumentari bertajuk Prince of Wales, Guardians yang menceritakan tentang kehidupan pelindung hidupan liar yang mencabar di seluruh dunia.
Siri tersebut turut disiarkan pada Jumaat di saluran YouTube BBC Earth.
Putera William pada masa sama menegaskan tentang kepentingan mempertahankan penempatan Orang Asli Caru yang semakin terancam daripada aktiviti tidak bertanggungjawab seperti pembalakan, pemburuan haram, kebakaran hutan dan permintaan berterusan untuk mendapatkan sumber asli.
"Antara golongan yang mempertahankannya ialah guerreiras atau pahlawan wanita.
"Mereka berdiri teguh untuk rakyat, tanah dan cara hidup yang diwarisi turun-temurun.
"Dalam episod ini, kami menyaksikan keberanian mereka dalam membantu melindungi bukan sahaja masa depan hutan, tetapi budaya dan kebijaksanaan yang berakar di dalamnya," katanya.
Filem pendek tersebut turut memfokuskan pada pasukan berbeza yang berjuang untuk melindungi spesies terancam atau kawasan perlindungan di seluruh dunia bermula enam minggu lalu.
"Siri ini juga sebagai penghormatan yang kuat kepada keberanian, ketabahan dan peranan penting pasukan di barisan hadapan dalam aktiviti pemuliharaan," jelasnya.
Filem tersebut turut mendapat 800,000 tontonan di YouTube dan kira-kira 10 juta tontonan kandungan media sosial selepas ditayangkan.
Amazon merupakan hutan hujan terbesar di dunia yang mengandungi satu pertiga daripada spesies haiwan dan tumbuhan serta memberikan sokongan penting kepada alam semula sekali gus membantu mengawal iklim global. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram