Keluarga diraja Wales bakal pindah ke Forest Lodge, rumah agam dihias semula menurut cita rasa Kate Middleton


  • Hias
  • Rabu, 03 Dis 2025

Kate menggunakan kemahiran sejarah seni beliau untuk menerapkan gaya 'kontemporari klasik' dalam hiasan bahagian dalaman Forest Lodge.

SELEPAS berpindah ke kediaman baharu yang digelar sebagai 'forever home', Puteri Wales, Catherine Middleton atau lebih mesra disapa Kate, kini sedang sibuk menghiasi bahagian dalaman Forest Lodge.

Forest Lodge merupakan sebuah rumah agam bersejarah yang terletak berhampiran Istana Windsor, England.

Menurut MailOnline dan Tatler, mereka mendedahkan bahawa Puteri Wales yang memegang ijazah dalam Sejarah Seni telah menikmati sepenuhnya proses pengubahsuaian ruang kediaman lapan bilik tidur itu dengan memberi tumpuan kepada gaya klasik kontemporari.

BACA LAGI: Periksa retakan konkrit kediaman, tanam rumput 'penutup bumi' antara 4 langkah siap siaga hadapi musim tengkujuh

BACA LAGI: Ada cara langsai 'loan' rumah dalam tempoh 20 tahun banding 35 tahun — Pakar

Kediaman baharu itu yang dahulunya dikenali sebagai Holly Grove, menampilkan fasad era Georgia yang klasik.

Namun Kate dilihat berusaha menyuntik sentuhan peribadinya ke dalam reka bentuk dalaman bagi memastikan ia sesuai sebagai rumah buat keluarga diraja itu.

Menurut sumber, Kate dikesan sedang membeli-belah untuk mencari perabot dan hiasan yang bersesuaian dengan konsep dikehendakinya.

Salah satu perabot penting yang menarik perhatian ialah meja makan antik bersaiz besar yang mampu memuatkan seramai 24 tempat duduk.

Kate dikesan sedang membeli-belah untuk mencari perabot dan hiasan yang bersesuaian dengan konsep dikehendakinya. Agensi

Pencarian itu menunjukkan persediaan pasangan diraja tersebut untuk majlis keramaian atau perhimpunan besar keluarga.

Kate juga dilihat berada di Marina Mill, sebuah syarikat tekstil yang dicetak menggunakan tangan yang juga menjadi kegemaran diraja.

Syarikat itu sebelum ini pernah membekalkan barangan untuk Istana Buckingham dan Clarence House.

Kunjungan Kate ke Marina Mill pada 11 September lalu di Cuxton, membuktikan beliau sangat serius dalam memilih setiap perincian hiasan.

Ini bukanlah kali pertama Kate Middleton meminjamkan sentuhan rekaannya pada kediaman diraja.

Beliau sebelum ini pernah menyelia pengubahsuaian Anmer Hall, sebuah rumah desa di Norfolk yang dihadiahkan oleh mendiang Ratu Elizabeth II kepada beliau dan Putera William selepas perkahwinan mereka.

Malah, adik iparnya, Putera Harry, pernah memuji cita rasa mewah Kate dalam menghiasi kediaman lama mereka di Apartment 1A, Istana Kensington melalui memoirnya, Spare.

Kate juga dilihat berada di Marina Mill. Agensi

"Kertas dinding, kemasan siling, rak buku kayu walnut yang dipenuhi dengan buku-buku berwarna tenang, karya seni yang tidak ternilai harganya. Sungguh hebat. Persis sebuah muzium,” tulis Harry memberikan gambaran jelas mengenai keanggunan reka bentuk dalaman yang dikendalikan oleh Kate.

Keluarga diraja itu telah berpindah ke Forest Lodge pada awal November, menunjukkan bahawa proses reka bentuk dan pengubahsuaian sama ada telah siap atau hampir selesai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram