'Abah sayang kamu semua sampai syurga', status terakhir Cikgu E buat keluarga tersayang, masih tabah bertarung kanser


  • Bonda
  • Ahad, 09 Nov 2025

Keadaan terkini Cikgu E yang dikatakan masih menerima rawatan. — Facebook/Cikgu E

KEADAAN terkini seorang pejuang kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E dilaporkan semakin merosot.

Bekas guru subjek Sains Sukan itu sebelum ini memaklumkan bahawa sistem pernafasannya tidak lancar dan keadaannya yang semakin lemah.

Reda dengan ketentuan takdir, Cikgu E dilihat menitipkan pesanan terakhir buat keluarga tersayang.

BACA LAGI: Kena pujuk macam budak, 5 hari bapa tak nak mandi takut luka basah, anak temui cara mudah!

BACA LAGI: Bengang isteri lupa tutup 'aircond', suami bawa 'remote' ke opis, terlalu berkira dengan pasangan dan anak

Sistem pernafasan Cikgu E dilaporkan semakin berkurangan sehingga menyebabkan keadaannya lemah. — Facebook/Cikgu E

Menerusi catatannya di Facebook pada Ahad, beliau menzahirkan harapan agar hubungan silaturahim dalam ahli keluarganya terus kuat dan saling menyokong antara satu sama lain sekiranya tiba harinya menghadap ILAHI.

"Buat isteri tercinta, terima kasih kerana menjadi tiang doa dan kekuatan saya sejak dari awal perjalanan ini.

"Awak bukan sekadar isteri, tetapi rahmat paling indah yang ALLAH pinjamkan.

"Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama.

"Saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana," tulisnya.

Cikgu E turut meninggalkan kata-kata semangat buat lima anak agar terus kuat menghadapi segala ujian hidup.

Baginya, setiap anaknya mempunyai tanggungjawab dan sumbangan terhadap dirinya dan ahli keluarga lain.

"Anak sulung, Hakeem, awak yang paling awal faham erti pengorbanan. Abah bangga dengan kematangan dan ketabahan awak menjaga keluarga bila abah dah tak mampu.

"Teruskan jadi pelindung untuk mak dan adik-adik, ya. Anak kedua, Hana, kelembutan hati awak sentiasa menyejukkan suasana.

"Jangan pendam perasaan bila rindu abah nanti, luahkan dalam doa. Abah sentiasa dengar, walau tak nampak.

"Anak ketiga, Aleesya, senyuman awak ubat untuk semua orang. Abah nak awak terus jadi gadis yang kuat yang sentiasa mengingatkan orang tentang sabar dan syukur.

"Anak keempat, Qistina, awak penghibur keluarga. Abah suka tengok cara awak buat semua orang ketawa walau dalam duka.

"Jangan berhenti menyebar keceriaan tu, sebab dunia ni perlukan hati seindah hati awak.

"Anak bongsu, Hafeez, anak kecil abah yang ceria, jangan risau bila abah dah tak ada.

"Doa awak yang tulus akan terus sampai pada abah. Abah nak awak jadi anak soleh yang selalu doakan mak dan abang-abang serta kakak-kakak," pesannya.

Cikgu E juga dikenali sebagai atlet dan pelari maraton mengalami masalah kesihatan sejak Mac 2024. — Facebook/Cikgu E

Meskipun kesihatannya semakin merosot, Cikgu E tetap memberi semangat kepada keluarganya untuk meneruskan hidup.

Sebelum ini, Cikgu E juga dimaklumkan bahawa hanya mempunyai 30 peratus baki saluran pernafasan masih berfungsi selepas melawan kanser paru-paru tahap empat.

Bukan itu sahaja, beliau juga berjuang melawan tiga jenis kanser membabitkan buah pinggang, kelenjar dan paru-paru sejak Mac 2024.

Selain dikenali dengan semangat juang melawan penyakit kronik, beliau juga merupakan seorang yang aktif dan bergelar atlet serta pelari maraton. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram