SEORANG pendaki mengalami detik-detik cemas apabila dia dikejar dan diserang seekor beruang ketika memanjat tebing batu di sebuah kawasan pergunungan di Jepun, lapor akhbar New York Post pada Isnin.
Berdasarkan perkongsian rakaman video, lelaki itu terserempak dengan seekor beruang hitam ketika memanjat tebing batu di Gunung Futago, Jepun dan mangsa dilihat bertarung untuk menyelamatkan nyawanya.
Beruang itu yang cuba melindungi anaknya, menyerang lelaki berkenaan beberapa kali, menyebabkan mangsa menendang, menjerit serta menumbuk haiwan itu.
Beruang itu berundur sekejap sebelum kembali mara untuk menyerang individu tersebut.
Selepas kira-kira 30 saat, beruang ituakhirnya melarikan diri bersama anaknya di sebalik semak-samun, meninggalkan pendaki tersebut yang kekal dalam keadaan berwaspada jika diserang sekali lagi.
Menurut laman berita TMZ, pendaki tersebut mengaku bahawa dia menceroboh kawasan beruang, namun katanya, dia juga perlu mempertahankan diri selepas diserang binatang buas berkenaan.
Tambah lelaki sama, gabungan seni mempertahankan diri dan karate menyelamatkan nyawanya ketika serangan berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram