'Jangan lupa asal usul', walau ada gelaran Datin, ibu Mekyun selesa disapa 'Mok', lebih pentingkan adab


  • Bonda
  • Selasa, 23 Dis 2025

Ibu bapa Mekyun sentiasa mendidiknya agar menjadi insan yang rendah diri dan mementingkan adab. — Mekyun

GELARAN atau pangkat sering dianggap sebagai simbol status, kuasa dan kemewahan seseorang.

Namun, nilai dan adab ketika menyantuni orang lain dianggap jauh lebih penting berbanding gelaran yang dimiliki.

Prinsip inilah yang dikongsikan oleh personaliti dan pempengaruh popular, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yu Nee.

BACA LAGI: Bukan tanda kalah, jaga maruah isteri antara 5 sebab suami pilih diam banding 'berhujah'

BACA LAGI: Elak anak meragam, sentiasa selesa berada di tempat awam, bapa amalkan kaedah 'safe space'

Mekyun baru-baru ini mendedahkan bahawa didikan ibunya adalah sentiasa dikenali sebagai insan biasa biasa dan bukan melalui pangkat atau gelaran.

"Walaupun Mok (mak) ada gelaran Datin, dari dahulu sampai sekarang tak pernah bagi orang panggil dia Datin.

"Sebab bagi Mok dan Pok (bapa), gelaran atau pangkat itu bukan segala-galanya.

"Paling penting adalah cara kita layan, hormat orang dan bawa diri," katanya.

Menerusi video dikongsikannya di Threads, ibunya sempat menjelaskan bahawa dirinya lebih senang disapa 'Mok' atau 'Kak'.

"Walaupun Mok bergelar Datin, tapi Mok ni orang biasa. Sebab Mok rasa, gelaran dan pangkat itu bukan segala-galanya.

"Kita kena beringat, orang akan hormat kita bukan sebab gelaran, tetapi sebab cara kita layan orang dan juga cara kita membawa diri.

"Walau setinggi mana pun kita, jangan lupa asal usul. Mok kita pun sama, Mok akan suruh orang panggil Mok sahaja bila di luar.

"Sejak kecil, Mok ajar Mek Yun dan abang-abang untuk sentiasa rendahkan diri, hormat semua orang dan berkawan dengan semua golongan," ujarnya.

Untuk rekod, Mekyun merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik dan mempunyai dua abang iaitu Abe Jay dan Abe Ming, selain Wee Chuan Chin atau lebih mesra disapa Abe Wee, yang paling rapat dengannya sejak kecil.

Dibesarkan dalam suasana keluarga berbilang budaya, komunikasi di rumah mereka berlangsung dalam bahasa Melayu (loghat Kelantan), Cina dan Inggeris.

Malah, Mekyun juga fasih berbahasa Hokkien dan Thailand hasil persekitaran keluarga serta masyarakat sekeliling. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram