Bukan tanda kalah, jaga maruah isteri antara 5 sebab suami pilih diam banding 'berhujah'


  • Cinta
  • Ahad, 21 Dis 2025

Terdapat beberapa ciri suami yang memilih untuk berdiam diri demi menjaga keharmonian keluarganya. — Gambar hiasan

DALAM sesebuah perkahwinan, sikap suami yang gemar berdiam diri sering disalahertikan sebagai tanda tidak peduli, lemah atau sudah menyerah.

Hakikatnya, menurut pakar motivasi kekeluargaan, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, diam itu kadangkala menjadi bahasa paling matang bagi golongan tersebut.

Ia juga lahir daripada tanggungjawab dan kasih sayang mendalam terhadap keluarga.

BACA LAGI: Rangsang isyarat ke otak, 'berkaki ayam' atas rumput, tanah bantu kuatkan otot

BACA LAGI: Elak anak meragam, sentiasa selesa berada di tempat awam, bapa amalkan kaedah 'safe space'

Riak wajah jelas terpancar meskipun mulutnya terkunci seribu bahasa. — Gambar hiasan

"Air muka seorang suami yang betul-betul berjuang untuk keharmonian rumah tangganya.

"Tak akan pernah menipu. Ia terpancar dari raut wajah, ketegasan kata-kata dan peribadi yang teguh," jelasnya.

Susulan itu, beliau kongsikan lima ciri suami yang memilih untuk berdiam demi mempertahankan keluarga.

1. Tidak mudah mengalah ketika diuji

Seorang suami yang matang tidak melihat ujian rumah tangga sebagai medan untuk menentukan siapa menang atau kalah.

Apabila diuji, mereka tidak terburu-buru membuat keputusan atau melontarkan kata-kata yang boleh melukakan hati pasangannya.

Sebaliknya, mereka memilih untuk memahami situasi secara menyeluruh.

Dia cuba memahami, bukan melawan malah, bertanya tentang kekurangannya serta tidak terus menuding jari apa yang salah.

2. Diam demi menjaga maruah isteri, anak

Diamnya seorang suami bukan kerana tiada hujah, tetapi kerana sedar kata-kata tidak terkawal mampu meruntuhkan maruah isteri dan memberi kesan kepada emosi anak.

Justeru, mereka memilih untuk menahan diri kerana faham bahawa sekali maruah isteri sudah tercalar, maka sukar untuk diperbaiki semula.

Setiap pertengkaran yang berpanjangan juga akan menjadi contoh tidak sihat kepada anak.

Pertengkaran akan lebih mengeruhkan keadaan dan menjejaskan emosi anak. — Gambar hiasan

3. Mampu memisahkan ego dan amanah

Lelaki seperti itu sedar bahawa mereka masih mempunyai ego dan harga diri.

Namun, mereka juga faham bahawa perkahwinan bukan tentang siapa paling berkuasa, tetapi siapa yang bertanggungjawab.

Amanah sebagai suami dan ayah sekali gus membuatkan mereka terus berusaha untuk memperbaiki diri.

4. Tidak membuka cerita untuk meraih simpati

Seorang suami yang berprinsip tidak menjadikan masalah rumah tangga sebagai topik bualan ramai.

Luka yang dirasa dipendam, air mata ditelan sendiri kerana faham bahawa tidak semua kebenaran perlu diumumkan kepada masyarakat.

Baginya, membuka aib keluarga untuk meraih simpati hanya akan menambahkan lagi kekusutan serta mengeruhkan keadaan.

5. Faham usaha lebih penting daripada hasil

Lelaki sedemikan menyedari mempertahankan keluarga bukan jaminan segalanya akan kekal hingga ke akhir hayat.

Namun, mereka percaya bahawa setiap usaha akan dipersoalkan di hadapan ALLAH.

Baginya, rumah tangga adalah 'masjid' yang dibina dengan niat suci. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram