Dapat ilham lepas buat lawatan, gadis India cipta tongkat 'pintar' siap AI khas untuk OKU penglihatan


  • Sukses
  • Selasa, 23 Dis 2025

Tongkat pintar khusus buat OKU penglihatan yang dihasilkan oleh Neha mendapat perhatian ramai. — Agensi

KEPRIHATINAN terhadap cabaran dihadapi golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan ketika berada di tempat awam mendorong seorang gadis dari Haryana, India mencipta tongkat pintar atau dikenali sebagai smart walking stick.

Menariknya, tongkat tersebut turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengeluarkan suara untuk membantu penggunanya mengesan sebarang halangan.

Neha Sinha yang menetap di Dharampur Colony, Pinjore, Haryana itu mendapat ilham selepas mengunjungi Sekolah Orang Buta Panchkula dan berinteraksi dengan beberapa pelajar.

BACA LAGI: 'Setiap huruf belajar kerana ALLAH', anak Abby Abadi raih 4 anugerah cemerlang di sekolah

BACA LAGI: Wanita hamil serba salah anak termuntah di kafe, lega lihat reaksi staf redakan situasi

 

Pengalaman itu sekali gus menyentuh hatinya apabila melihat kesukaran mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa bantuan.

Menurutnya, perkara paling mencabar bagi golongan OKU penglihatan adalah ketika berjalan di tempat awam.

Berbekalkan kesedaran itu, beliau mengambil keputusan untuk menghasilkan tongkat pintar yang berfungsi sebagai pengganti mata.

Beliau menjalankan penyelidikan secara kendiri dengan menyenaraikan masalah utama dihadapi golongan berkenaan serta kaedah penyelesaiannya.

Hasil kajian tersebut, Neha berjaya menghasilkan tongkat pintar yang dilengkapi pelbagai ciri khas bagi membantu pengguna OKU bergerak dengan lebih selamat.

Menariknya, kos penghasilan tongkat pintar ciptaannya jauh lebih rendah berbanding produk sedia ada di pasaran.

Jika tongkat pintar komersial boleh mencecah harga antara RS77,000 (RM3,400) hingga RS100,000 (RM4,500), ciptaan Neha hanya menelan kos sekitar RS3,000 (RM136).

Berdasarkan laporan agensi, tongkat tersebut juga diaktifkan dengan menekan butang khas.

Neha (tengah) berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Startup Mahakumbh. — Agensi

Ia dilengkapi pembesar suara yang akan menyapa pengguna serta boleh memaklumkan masa dan tarikh sebaik sahaja dihidupkan.

Antara ciri utama tongkat pintar tersebut termasuk pengumuman arahan dalam pelbagai bahasa, butang khas untuk meminta bantuan, amaran apabila terdapat halangan di hadapan serta peringatan sekiranya melalui lantai yang basah bagi mengelakkan pengguna tergelincir dan terjatuh.

Sementara itu, Neha kini mengikuti pengajian tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Aplikasi Komputer (BCA) di sebuah kolej swasta di Baddi, Himachal Pradesh.

Beliau juga bercita-cita untuk menceburi sektor teknologi maklumat atau membina perniagaan sendiri kelak.

Menurutnya, sokongan keluarga menjadi pendorong utama kejayaannya, terutama bapanya, Saurabh Sinha yang bekerja di sebuah syarikat swasta dan turut berminat dalam bidang pembuatan gajet.

Malah, adiknya yang berusia 12 tahun, Daksh turut menunjukkan minat mendalam untuk menghasilkan ciptaan teknologi unik selepas melihat kejayaan kakaknya.

Kejayaan Neha tidak terhenti di situ apabila ciptaan tongkat pintar berkenaan turut mengharumkan nama institusinya di peringkat kebangsaan.

Beliau berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Startup Mahakumbh yang berlangsung di New Delhi, India sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RS10 juta (RM45,000). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram