MAJLIS nikah yang merupakan detik paling bermakna bertukar menjadi episod duka apabila bakal suami meninggal dunia lapan jam sebelum diijabkabulkan.
Khabar duka itu dimuat naik seorang wanita di Threads pada Sabtu, memaklumkan bahawa tunangnya, Mohamad Faiz Md Rozi meninggal dunia ketika tidur kira-kira pukul 2 pagi, beberapa jam sebelum majlis akad nikah.
Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan memaklumkan berita sedih itu kepada rakan-rakan dan tetamu yang menerima jemputan perkahwinannya selain memohon agar orang ramai menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat arwah.
BACA LAGI: Tampil kelainan, pelawak Indonesia beri saham GOTO sebagai mas kahwin
BACA LAGI: Tak puas kerja korporat, bekas jurutera lupakan gaji besar, temui ketenangan dalam laut
"Di sini saya nak maklum, lapan jam sebelum akad nikah semalam, bakal suami saya iaitu tunang saya, Mohamad Faiz bin Md Rozi telah menghembuskan nafas terakhir pada jam lebih kurang 2 pagi.
"Meninggal semasa tidur dan sudah sampai masa dia bertemu Pencipta," tulisnya.
Lebih menyentuh perasaan, wanita itu turut berkongsi kenangan terakhir bersama arwah, termasuk janji untuk bertemu pada pagi hari sama, namun pertemuan tersebut berlaku di unit forensik.
"Jenazah arwah senyum. Arwah janji nak jumpa pukul 10 pagi. Betul-betul kami jumpa tapi di forensik," katanya.
Menurut wanita itu lagi, arwah pernah menyatakan hasrat tidak mahu berkahwin kerana ingin menjaga ibu hingga akhir hayat dan beliau percaya doa tersebut dimakbulkan ALLAH.
"Arwah cakap kepada mak dia sebelum kenal saya, dia tak mahu kahwin dan nak jaga mak sampai mati. ALLAH makbulkan doa dia," luahnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang menzahirkan rasa simpati selain mendoakan agar wanita berkenaan diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
