TAHUKAH anda berjalan kaki tanpa memakai kasut sesekali ternyata memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan tubuh.
Menurut pakar bedah kaki dan buku lali, Dr Thomas Schneider dari hospital ortopedik Gelenk Klinik di Gundelfingen, Jerman, berjalan secara 'kaki ayam' membolehkan tapak kaki menerima rangsangan yang berbeza berbanding apabila sentiasa terkurung dalam kasut.
Permukaan semula jadi seperti rumput, pasir, batu kecil dan tanah merangsang hujung saraf pada tapak kaki yang seterusnya menghantar isyarat ke otak.
BACA LAGI: Elak anak meragam, sentiasa selesa berada di tempat awam, bapa amalkan kaedah 'safe space'

Luangkan masa untuk menjadikan berjalan kaki ayam dalam rutin seharian. — Gambar hiasan/Agensi
"Rangsangan ini membantu meningkatkan kesedaran tubuh, termasuk kedudukan dan pergerakan badan, sekali gus menyumbang kepada postur yang lebih tegak," katanya.
Dalam jangka panjang, amalan tersebut juga dapat memperbaiki kestabilan sendi serta keseimbangan badan.
Pakar podologi, Tatjana Pfersich turut menjelaskan bahawa berjalan berkaki ayam membantu menguatkan otot-otot kaki.
Otot kaki yang kuat boleh mengurangkan risiko pembentukan taji tumit iaitu pertumbuhan tulang yang menyakitkan pada tumit.
Dalam rumah atau di luar rumah?
Walaupun berjalan berkaki ayam di dalam rumah tetap memberi kesan positif, Dr Schneider menjelaskan bahawa lantai berjubin, kayu atau berkarpet memberikan rangsangan yang terhad.
Kesan lebih ketara juga dapat diperoleh apabila berjalan di luar rumah pada pelbagai permukaan semula jadi.
Namun, berjalan tanpa kasut atau hanya bersarung stokin di rumah masih lebih baik berbanding memakai kasut sepanjang masa.

Permukaan lantai di dalam rumah adalah terhad bagi rangsangan di tapak kaki. — Gambar hiasan/Agensi
Risiko dan langkah berjaga-jaga
Berjalan berkaki ayam di luar rumah pada masa sama mampu memberi risiko.
Tapak kaki boleh terdedah kepada objek tajam seperti kaca, selain risiko disengat serangga seperti lebah atau tebuan.
Oleh itu, orang ramai disarankan agar lebih berhati-hati dan peka terhadap persekitaran.
Secara umumnya, amalan itu sesuai untuk semua peringkat usia termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Namun, individu yang mengalami kerosakan saraf atau kurang deria rasa pada kaki, seperti pesakit diabetes perlu lebih berhati-hati.
Golongan tersebut turut digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Mula secara berperingkat
Bagi mereka yang mempunyai masalah kaki seperti kaki leper atau kecacatan struktur lain, berjalan berkaki ayam tetap memberi manfaat tetapi perlu dilakukan selepas mendapatkan pandangan pakar.
Dr Schneider menekankan, kepentingan memulakan amalan itu secara beransur-ansur agar otot kaki dapat menyesuaikan diri.
Pada peringkat awal, berjalan selama kira-kira lima minit di permukaan lembut sudah memadai sebelum meningkatkan tempoh dan variasi permukaan.
Antara cara mudah mengamalkan berjalan berkaki ayam adalah dengan meluangkan masa berjalan di halaman rumah atau taman.
Selain itu, terdapat juga laluan atau taman khas barefoot di beberapa tempat yang boleh dicuba.
Alternatif lain adalah dengan menggunakan kasut khas atau barefoot shoes yang bertapak nipis dan fleksibel, membolehkan kaki menerima rangsangan semula jadi sambil kekal dilindungi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
