Lepas menang ‘Junior Nobel Prize’ 2 tahun berturut-turut, gadis Teluk Intan dianugerah warkah tahniah Agong


  • Sukses
  • Rabu, 17 Dis 2025

Warkah tahniah yang diutuskan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah kepada Balvinder (kanan) pada Isnin lalu. — Instagram/@officialsultanibrahim

USAHA gigih pelajar Malaysia, Balvinder Kaur Dhillon dalam bidang sains dan penyelidikan terus membuahkan hasil apabila kejayaan di peringkat global menerima pengiktirafan tertinggi negara.

Selepas muncul sebagai pelajar kejuruteraan pertama dan satu-satunya memenangi Global Undergraduate Award dalam kategori Kejuruteraan untuk dua tahun berturut-turut, Balvinder kini dianugerahkan warkah tahniah daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada Isnin lalu.

Warkah tersebut diutuskan atas kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang penyelidikan perubatan.

BACA LAGI: Gadis Teluk Intan cipta sejarah, menang ‘Junior Nobel Prize’ 2 tahun berturut-turut

BACA LAGI: 'Perfect dan profesional', wedding planner Erra Fazira dipuji pandai kawal situasi, jelas beri arahan

Kejayaan Balvinder (kiri) mendapat pengiktirafan selepas mengharumkan nama Malaysia di peringkat global. — Instagram/@officialsultanibrahim

Pelajar berusia 24 tahun itu juga pernah menerima anugerah yang dikenali sebagai Junior Nobel Prize dan disampaikan di Dublin, Ireland.

Anugerah yang pertama dimenangi tahun lalu (2024) ketika beliau menuntut di Queen Mary University of London, United Kingdom (UK).

Balvinder kini menuntut di Imperial College, London, dalam bidang Robotik Kemanusiaan dan Biologi.

Warkah Raja Permaisuri Agong telah diserahkan oleh Pegawai Pentadbir (Pentadbiran) Istana Negara di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Zulfadli Zakaria.

Menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut, Balvinder berkata, penghormatan daripada Raja Permaisuri Agong amat bermakna buat dirinya.

Balvinder bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Coveney (kiri) pada majlis anugerah di Dublin pada 11 November lalu. 

"Ini kerana mengiktiraf bukan sahaja usaha saya sendiri, malah juga sokongan padu keluarga, para mentor dan negara yang saya banggakan.

"Ini sebuah peringatan bahawa Malaysia sentiasa mampu menghasilkan bakat bertaraf dunia, saya amat menjunjung kasih," katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Berasal dari Teluk Intan, Perak, Balvinder sebelum ini melaksanakan kertas penyelidikan yang merangkul kemenangan tersebut bertajuk 'Developing a Multimodal Deep Learning Pipeline for Automated Glioma Subregion Segmentation and 3D Reconstruction with Integrated Spatial Analysis for Clinical Insight'. 

Kajian itu menggabungkan kecerdasan buatan, robotik dan teknologi kesihatan, dan dilaksanakan ketika tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda MEng Kejuruteraan Bioperubatan di Queen Mary University of London, di bawah seliaan Profesor Zion Tse dan Dr. Hadi Sadati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram