Majlis kahwin pengasas Chagee 'grand', siap hidang tetamu milk tea boleh pilih tahap gula sendiri


  • Cinta
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Majlis perkahwinan Zhang Junjie (kiri) dan pasangannya berlangsung meriah di Changzhou, China pada Isnin lalu. — Agensi

MAJLIS perkahwinan pengasas rangkaian minuman, Chagee, Zhang Junjie mencuri perhatian ramai selepas tular video di media sosial memaparkan deretan cawan teh susu jenama terkenal itu dihidangkan buat tetamu.

Pada Isnin lalu, Zhang Junjie selamat disatukan bersama isterinya, Gao Haichun yang merupakan pewaris kepada syarikat tenaga solar, Trina Solar di Changzhou, China.

Berdasarkan laporan agensi, pasangan berusia 32 tahun itu diraikan dalam satu majlis yang gilang-gemilang di Hotel Zhongwu, Changzhou.

BACA LAGI: Sanggup labur RM4 juta 'copy' wajah Fan Bingbing, wanita di China menyesal lepas reputasi jatuh

BACA LAGI: Lepas menang ‘Junior Nobel Prize’ 2 tahun berturut-turut, gadis Teluk Intan dianugerah warkah tahniah Agong

Cenderahati yang diberikan kepada tetamu pada majlis perkahwinan pasangan tersebut. — Agensi

Seiring dengan jenama yang diasaskan Zhang Junjie, para tetamu turut dihidangkan pelbagai perisa teh susu Chagee lengkap dengan pilihan ais dan tahap gula dimahukan.

Zhang Junjie dan Gao Haichun dilaporkan berkenalan menerusi satu acara rangkaian perniagaan sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka pada Jun lalu.

Pasangan berprofil tinggi itu sekali gus menarik perhatian umum susulan status dan pengaruhnya dalam dunia perniagaan.

Video sama turut memaparkan pasangan pengantin itu lengkap mengenakan busana tradisional masyarakat Cina merah keemasan sepanjang majlis resepsi.

Selain minuman, para tetamu juga dihadiahkan sekotak cenderahati yang diisi dengan pelbagai manisan serta cawan merah Chagee.

Gao Haichun pada masa sama sempat memberi ucapan istimewa buat suaminya yang menyentuh hati ramai.

"Dalam kesedihan, kegembiraan, cita-cita dan perjalanan hidupmu, kamu ada aku.

"Mulai hari ini, kamu tidak lagi bersendirian. Kamu sekarang ada sebuah rumah," katanya.

Zhang Junjie sebelum ini dikatakan membesar dalam keluarga serba kekurangan di Yunnan, China dan menjadi yatim piatu sejak berusia 10 tahun.

Beliau juga mula bekerja di sebuah kedai teh susu pada usia 17 tahun sebelum berjaya menjadi rakan francais dalam tempoh lima tahun selepas itu.

Pada 2017, beliau menubuhkan syarikat minuman, Chagee yang kini berkembang pesat sehingga peringkat global termasuk Malaysia dan disenaraikan di pasaran saham pada 2025.

Zhang Junjie kemudiannya bergelar jutawan selepas peningkatan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu pada April lalu.

Jenama teh premium tersebut kini memiliki lebih 6,440 cawangan dengan sebahagian besarnya beroperasi di China. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram