Tampil kelainan, pelawak Indonesia beri saham GOTO sebagai mas kahwin


  • Cinta
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Yudha Keling menjadikan saham GOTO dijadikan sebagai mas kahwin. — Agensi

PELAWAK solo dan pencipta kandungan kewangan Indonesia, Yudha Ramadhan atau lebih dikenali sebagai Yudha Keling selamat melangsungkan perkahwinannya di Hotel Grand Savero, Bogor, Jawa Barat pada 13 Disember lalu.

Majlis penuh bermakna itu mencuri perhatian ramai apabila Yudha memilih saham syarikat teknologi terkemuka Indonesia, PT GoTo Gojek Tokopedia (GOTO) sebanyak 1,412,025 unit sebagai mas kahwin.

Pemilihan saham tersebut dilihat sebagai gabungan nilai moden pelaburan dengan perjalanan peribadi hidup pengantin lelaki.

BACA LAGI: Majlis kahwin pengasas Chagee 'grand', siap hidang tetamu milk tea boleh pilih tahap gula sendiri

BACA LAGI: Lepas menang ‘Junior Nobel Prize’ 2 tahun berturut-turut, gadis Teluk Intan dianugerah warkah tahniah Agong

Yudha Keling (kiri) selamat disatukan dengan pasangannya, Fadhilah Eryanda. — Agensi

Berdasarkan harga penutupan pasaran saham pada Jumaat lalu iaitu sebanyak RP66 (RM0.02) per saham yang menjadikan nilai keseluruhan mas kahwin tersebut dianggarkan mencecah sekitar RP93 juta (RM22,708).

Berdasarkan perkongsian di Instagramnya, beliau menjelaskan bahawa dunia pelaburan yang mula diceburi sejak 2020 banyak mengubah perjalanan hidup serta kerjaya.

"Hidup dan kerjaya saya banyak berubah dan berkembang lebih baik.

"Sebab itu, dalam perayaan perjalanan hidup yang baharu ini, saya mahu ada elemen tersebut di dalamnya," katanya.

Mengulas lanjut, pemilihan saham GOTO sebagai mas kahwin, Yudha berkata, keputusan itu turut diselitkan dengan unsur humor.

"Kenapa GOTO? Saya percaya pepatah 'jika mahu jalan pantas, pergilah sendiri, jika mahu pergi jauh, pergilah bersama'.

"Dalam perkahwinan ini, kami mahukannya 'pergi jauh dan kekal bersama' dan secara kebetulan, slogan Goto ialah 'pergi jauh, pergi bersama'.

"Jadi, kerana semangat bersama itu, kami bersetuju untuk menjadikan ini mas kahwin kami," jelasnya.

Pada penutupan dagangan saham pada Selasa lalu, GOTO mencatat kenaikan sebanyak 4.62 peratus.

Sebanyak 25,738 transaksi direkodkan melibatkan volum dagangan 77.93 juta saham dengan nilai transaksi mencecah lebih RP500.3 bilion (RM100 juta). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram