Baru tahu hamil pagi sebelum bertanding, atlet memanah Indonesia raih 2 pingat emas, sifatkan rezeki anak


  • Sukses
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Kejayaan Diananda Choirunisa di temasya Sukan Sea 2025 ketika berbadan dua meraih pujian ramai. — Agensi

 

 

STADIUM Hua Mak, Bangkok, Thailand menyaksikan detik bersejarah selepas altlet memanah Indonesia, Diananda Choirunisa berjaya memenangi dua pingat emas di Sukan Sea 2025 pada Rabu lalu.

Lebih mengharukan apabila Diananda membawa kejayaan untuk negaranya ketika hamil dua minggu.

Menariknya, beliau hanya mengetahui berita gembira itu pada pagi sebelum bertanding di peringkat akhir.

BACA LAGI: Rumah sewa sederet, ada ladang tapi tak pernah berkira, cucu kagum kebaikan arwah nenek tiri

BACA LAGI: Sanggup labur RM4 juta 'copy' wajah Fan Bingbing, wanita di China menyesal lepas reputasi jatuh

Daisha Arraya (kanan) turut hadir memberi sokongan kepada ibunya. — Agensi

Meskipun mengalami beberapa gejala pada waktu pagi, wanita berusia 28 tahun itu kelihatan sangat tenang ketika menentang Trieu Huyen Diep dari Vietnam, sekali gus meraih kemenangan dramatik 6–4.

"Bersyukur kepada Tuhan, saya berjaya memenangi dua pingat emas dan ini merupakan satu nikmat berganda kerana saya juga sedang hamil dua minggu.

"Saya baru mengetahuinya pagi ini dan saya hanya merasa mual ketika bangun tidur.

"Tetapi, selepas perlawanan, saya sebenarnya sihat," katanya.

Kejayaan itu turut membawa rezeki kepada keluarganya selepas dijanjikan oleh Presiden Prabowo Subianto tentang bonus sebanyak RP 1 bilion (RM243,253) untuk pemenang pingat emas.

"Inilah rezeki anak, dua anak boleh dapat dua pingat emas," jelasnya.

Beliau turut mendedikasikan pingat tersebut khusus kepada suami, anak pertamanya, Daisha Arraya Almahyra dan bayi dalam kandungannya.

"Matlamat saya adalah untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Sukan SEA hanyalah matlamat kedua bagi saya.

"Kehamilan sekarang mungkin memaksa saya terlepas Sukan Asia 2026. Selepas itu, saya akan fokus pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram