DUA putera diraja Johor yang menceburkan diri dalam sukan permotoran berkongsi pengalaman menarik dan cabaran yang ditempuhi sepanjang berkecimpung dalam bidang itu menerusi program Sembang Kereta 2025 KFC X JMR di KFC Edusphere Cyberjaya, Selangor pada Rabu.
Sesi interaktif itu menyaksikan penampilan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al Haj Sultan Ibrahim sebagai pelumba Johor Motorsports Racing (JMR).
Antara perkongsian menarik yang dikongsikan termasuk pengalaman bermakna apabila kedua-dua anakanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu menaiki podium bersama-sama buat kali pertama semasa 'race' Thai Super Series di Litar Sepang pada 2019.
Tunku Abdul Rahman berkata, perlumbaan itu akan kekal sebagai kejohanan paling diingati kerana menyaksikan debut adiknya yang muncul buat kali pertama dalam sukan permotoran.
BACA LAGI: Dua anakanda Agong berentap perlumbaan GT3 di Belgium, sasar menang atasi 75 wakil seluruh dunia

Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman dan cabaran bergelar pelumba profesional JMR. — The Star/ ART CHEN
"Kami kongsi kereta lumba yang sama pada masa itu dan antara momen yang diingati apabila ada kemalangan pada awal perlumbaan hingga menyebabkan kedudukan kami jatuh ke tangga corot.
"Kami push all the way hingga tamat perlumbaan dan tak sangka kami peroleh kemenangan pertama. Lebih manis, ia juga kemenangan pertama adik saya (Tunku Abu Bakar)," katanya ketika menjawab soalan yang diajukan penuntut IPT yang hadir pada majlis itu.
Perkongsian itu dibuat di hadapan lebih 200 siswa siswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Malaysia (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur, Malaysia France Institute (UniKL MFI), TOC Automotive College dan City University.
Para penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu diberi pendedahan mengenai teknologi, semangat berpasukan dan kerjasama padu daripada tenaga pakar yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan JMR.
Pada masa sama, program kerjasama strategik antara KFC Malaysia dengan JMR yang bertujuan memperkasa pembangunan belia itu memberi peluang kepada para pelajar IPT untuk merasai pengalaman paddock perlumbaan secara langsung di KFC Edusphere Cyberjaya.
Lebih menarik, mereka dapat melihat secara dekat jentera JMR, Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang dipamerkan di hadapan pentas.
Sementara itu, kata Tunku Abdul Rahman lagi, beliau dan adiknya meletakkan fokus, disiplin serta komitmen yang tinggi terhadap setiap perlumbaan.
"Dalam setiap perlumbaan, memang kami hadapi tekanan yang tinggi termasuk expectation untuk kami memenangi kejuaraan itu.

Dari kanan, Tunku Abdul Rahman, Tunku Abu Bakar dan Nechal Khanna bergambar kenangan di hadapan jentera JMR iaitu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R. — The Star/ ART CHEN
"Jadi, dalam apapun yang diceburi, kami beri 200 peratus fokus, disiplin dan komitmen selain cuba adapt dengan tekanan itu agar ia bertukar menjadi motivasi bagi mendorong kami melakukan yang terbaik.
“Persediaan yang rapi juga amat penting dalam membantu kami menghadapi situasi genting seperti stres dan tekanan luaran dengan keyakinan yang tinggi," katanya lagi yang menyasarkan lebih banyak kejuaraan bersama adiknya pada masa akan datang.
Perkongsian tersebut memberi inspirasi kepada para penuntut yang hadir mengenai pentingnya disiplin dan keazaman tinggi yang diperlukan dalam perlumbaan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nechal Khanna berkata, kejayaan kedua-dua putera diraja Johor itu mencerminkan peningkatan kehadiran Malaysia di arena sukan permotoran global
"Tunku Abdul Rahman menamatkan kejuaraan GT World Challenge Asia 2025 sebagai naib juara keseluruhan kategori Pro-Am dengan beberapa kedudukan podium termasuk pada pusingan akhir di Beijing.
"Tunku Abu Bakar turut mewakili JMR pada musim 2025 bersama pelumba antarabangsa Alex Sims dan Jordan Love menggunakan jentera baru pasukan, Corvette ZO6 GT3.R.
"Kami amat berbangga meraikan pencapaian putera-putera diraja Johor yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Penyertaan kedua-dua putera diraja menegaskan komitmen Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia, sekali gus memberi inspirasi kepada belia untuk menanam impian besar dan menetapkan matlamat jauh," katanya.

Tunku Abdul Rahman (topi putih) berswafoto bersama sebahagian pelajar UPM yang turut menganggotai Putra Motorsports Team. — The Star/ ART CHEN
Seiring pasukan JMR yang terus gagah melakar kejayaan dalam pentas permotoran antarabangsa, Nechal berkata, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar turut membawa bersama jenama KFC.
Ini merupakan suatu simbol bermakna yang menandakan kebanggaan dan keutuhan rakyat Malaysia.
Kerjasama KFC Malaysia dan JMR yang sudah memasuki tahun keenam itu bukan sahaja untuk meraikan arena permotoran tempatan, malah ia juga dapat mengeratkan hubungan antara komuniti perlumbaan dengan orang awam.
Di samping itu, inisiatif tersebut juga menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap industri berimpak tinggi itu.
Sebagai generasi pelapis masa hadapan, mereka diberi peluang bertemu kedua-dua beradik diraja yang merupakan tokoh bidang permotoran, sekali gus membantu dalam pembinaan karakter selain menyokong nilai pendidikan serta disiplin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
