Litar licin di Beijing, tekanan 'home race' di Sepang antara cabaran 2 putera Johor sejak bergelar pelumba JMR


  • Podium
  • Isnin, 08 Dis 2025

Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman dan cabaran bergelar pelumba profesional JMR. — The Star/ ART CHEN

PERLUMBAAN GT World Challenge Asia Pro-Am Vice Champion di Beijing, China merupakan 'race' paling mencabar pernah dihadapi sepanjang bergelar pelumba profesional Johor Motorsports Racing (JMR).

Perkara itu didedahkan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim menerusi program KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 yang berlangsung di KFC Edusphere Cyberjaya pada Rabu.

Program tersebut turut disertai adindanya yang juga pelumba JMR, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.

BACA LAGI: Dua anakanda Agong berentap perlumbaan GT3 di Belgium, sasar menang atasi 75 wakil seluruh dunia

BACA LAGI: 'Kejayaan Harimau Selatan dominasi bola sepak boleh ditiru JDT Racing Team'

Kongsi Tunku Abdul Rahman, cuaca sejuk dengan suhu yang hampir mencecah 4 hingga 5 darjah Celsius menyukarkan para pelumba, ditambah dengan keadaan jentera yang menggunakan 'slick tyres'.

“Di Formula 1 atau kebanyakan perlumbaan di Eropah, ada 'tyre warmers'.

"Berlumba dengan 'slick tyres', kami memerlukan haba supaya tayar ada 'grip'. Bila tayar tak panas, kereta rasa macam dipandu atas ais.

"Bayangkan anda berlari atas lantai kayu sambil pakai stokin, memang licin. Bila buka stokin barulah boleh berlari seperti biasa. Begitulah rasa tayar kami sebelum panas,” katanya menggambarkan betapa licinnya permukaan litar ketika itu.

YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor at KFC x JMR Sembang Kereta 2025 Edition. This year marks the sixth anniversary of our collaboration with Johor Motorsports Racing (JMR), and KFC Malaysia is honoured to host this prestigious engagement event. (DEC 3 2025) — ART CHEN/The Star

Tunku Abdul Rahman (kiri) banyak memberi tunjuk ajar kepada adindanya Tunku Abu Bakar (kanan) mengenai bidang sukan permotoran. — The Star/ ART CHEN

Beliau berkata demikian ketika menjawab salah satu soalan yang diajukan penuntut IPT yang hadir pada program KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025.

Perkongsian itu dibuat di hadapan 200 siswa siswi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Malaysia (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), TOC Automotive College dan City University.

Jika Beijing menguji kemahiran teknikal, Litar Sepang pula mencabar ketahanan mental kedua-dua anakanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu.

“Perlumbaan di Litar Sepang memang beri tekanan besar untuk kami. 

"Ia adalah 'home race', jadi semua orang tengok, semua orang meletakkan jangkaan untuk kami menang. Kalau tak menang, saya kena jawab. Kalau menang pun saya tetap kena jawab,” seloroh Tunku abdul Rahman.

Mengenang kembali salah satu perlumbaan di Sepang pada 2023, Tunku Abdul Rahman berkata, ketika itu merupakan tahun kedua perlumbaannya bersama Tunku Abu Bakar dalam kejohanan GT3.

Tanpa berselindung, beliau mengakui tekanan di Sepang boleh dirasai apabila melihat kehadiran begitu ramai penonton yang mahu menyaksikan aksi mereka.

“Kami asyik tengok 'heart rate' masing-masing, kemudian adik saya (Abu Bakar) tanya kenapa kita 'nervous'? Saya pun tak tahu, mungkin sebab ramai sangat orang datang dan mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada kami," katanya.

YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor at KFC x JMR Sembang Kereta 2025 Edition. This year marks the sixth anniversary of our collaboration with Johor Motorsports Racing (JMR), and KFC Malaysia is honoured to host this prestigious engagement event. (DEC 3 2025) — ART CHEN/The Star

Nehchal (tengah) diapit Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar melihat enjin Chevrolet Corvette Z06 GT3.R ketika acara KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 yang berlangsung di restoran KFC Edusphere Cyberjaya.

Selain tekanan mental, Tunku Abdul Rahman turut menekankan cabaran fizikal yang dihadapi pelumba, terutamanya dalam cuaca panas Malaysia.

“Dalam kereta, suhu boleh mencecah antara 50 hingga 60 darjah Celsius. Jika tidak cukup 'fit', ia bukan sahaja menguji fizikal tetapi juga mental, sebab susah nak fokus.

“Jadi, latihan ketahanan kardio dan kekuatan tubuh sangat penting untuk memastikan kami mampu menahan tekanan fizikal dan mental sepanjang perlumbaan,” jelasnya.

Namun bagi kedua-dua kerabat diraja itu, tekanan tidak menjadi penghalang, sebaliknya, ia menjadi sumber motivasi.

“Kami selalu cuba ‘convert’ tekanan itu kepada motivasi. Itu perkara paling penting sebagai pelumba,” ujarnya.

Perkongsian jujur dan terbuka kedua-dua putera Johor itu memberi gambaran nyata tentang disiplin, fokus dan ketahanan mental yang diperlukan dalam sukan permotoran bertaraf antarabangsa.

Daripada kesejukan ekstrem di Beijing hingga tekanan di Sepang, pengalaman yang dikongsi itu menjadi inspirasi buat pelajar IPT yang hadir.

Ia pada masa sama membuktikan bahawa kejayaan dalam apa jua bidang menuntut usaha, persediaan rapi dan keyakinan tinggi.

Disiplin dan fokus juga menjadi resipi kejayaan mereka berdua mengukir nama dalam bidang sukan berimpak tinggi itu.

Untuk rekod, JMR menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram