PENJAHIT ceongsam terkenal di Singapura, Li Qiying mendedikasikan lebih 50 tahun hidupnya untuk menguasai seni menjahit pakaian tradisional Cina.
Walaupun merancang untuk bersara tahun depan, wanita berusia lingkungan 60-an itu masih sibuk dengan urusan perniagaannya.
Perniagaannya rancak dijalankan di rumahnya di Telok Blangah, yang turut berfungsi sebagai bilik pameran koleksi ceongsam miliknya.
Pelanggan sentiasa mengunjungi kediaman berkenaan untuk melihat rekaan ceongsam yang memenuhi rak dari dinding ke dinding di ruang tamu.
Ceongsam yang dihasilkan Qiying menampilkan gabungan reka bentuk klasik dan kontemporari.
Bagi usahawan itu, menjahit ceongsam bukan sekadar pekerjaan, ia sebahagian daripada hidupnya sejak kecil.
Dilahirkan di Guangxi, China, beliau diajar seni tersebut oleh ibunya.
"Awalnya, saya tidak belajar menjahit ceongsam atas minat sendiri, tetapi dipaksa.
"Mungkin ini cara terbaik untuk mencari rezeki. Adik-beradik juga belajar menjahit, tetapi saya satu-satunya yang menjadikannya pekerjaan,” jelas beliau.
Bakatnya mula terserlah sejak kecil. Ketika berusia sembilan tahun, beliau sudah membuat butang simpulan ceongsam dan pada umur 13 tahun, dirinya mampu menghasilkan versi mudah pakaian tradisional itu sendiri.
Pada awal dewasa, Qiying pernah cuba untuk menjadi pendandan rambut, tetapi hanya bertahan sebulan sebelum kembali kepada kerjaya menjahit.
Beliau kemudian belajar reka bentuk fesyen di Beijing dan mengajar kelas menjahit di kampung halamannya.
Qiying berpindah ke beberapa lokasi Shenzhen, Zhuhai, Hong Kong sebelum menetap di Singapura pada 2003 dan memperoleh status penduduk tetap.

Bagi Qiying, menjahit ceongsam bukan sekadar pekerjaan, ia sebahagian daripada hidupnya sejak kecil. — Agensi
Pada 2007, beliau memulakan perniagaan ceongsam Golden Scissor di People’s Park, Chinatown dan bertahan selama 18 tahun.
Ceongsam bersaiz khusus menjadi fokus utama pada awal perniagaannya, dengan setiap langkah dijalankan secara manual.
Menghasilkan satu ceongsam boleh mengambil masa sehari hingga seminggu bergantung pada gaya dan kerumitan rekaan.
“Seperti mana-mana seni, ia adalah proses yang teliti.
"Setiap langkah perlu dilakukan dengan tangan dan tidak boleh sambil lewa,” katanya.
Memodenkan ceongsam
Seiring masa, Qiying berjaya memperluas perniagaannya ke platform media sosial dengan bantuan anak angkatnya.
Langkah itu berjaya meningkatkan jualan dan menarik pelanggan muda, selain mengekalkan pelanggan dari pelbagai peringkat umur kanak-kanak, remaja, wanita dewasa hingga warga emas.
“Ceongsam adalah pakaian serba boleh, sesiapa pun boleh kelihatan cantik asalkan padanan, warna dan potongan sesuai.
"Tidak semestinya perlu kurus atau tinggi,” kata Qiying.

Qiying (tengah) bersama anak angkatnya, Lin Tong dan suaminya. — Agensi
Beliau turut memodenkan ceongsam melalui variasi gaya, fungsi, panjang pakaian, lengan dan penggunaan kain dengan corak atau warna unik.
Antara hasilnya termasuk ceongsam renda, gingham, polka-dot, batik, potongan A-line, flare, pleated, malah jumpsuit.
Bersara
Selepas kenaikan sewa pada 2023, Qiying menutup kedainya di People’s Park dan menumpukan pada ceongsam sedia pakai dengan perubahan kecil mengikut permintaan.
Beliau menyuarakan hasrat untuk bersara sepenuhnya selepas menjual semua koleksinya pada awal tahun depan.
“Kerja ini menuntut masa lama dan menekan fizikal, terutama mata dan belakang.
"Anda tidak boleh menjana banyak wang berbanding kerjaya lain. Saya faham sebab ramai anak muda tidak memilih bidang ini,” katanya.
Qiying menegaskan, beliau tidak akan berhenti menjahit sepenuhnya, tetapi akan terus melakukannya untuk diri sendiri, keluarga, rakan dan pelanggan tetap secara santai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
