SEMANGAT kejiranan dan nilai kemanusiaan melangkaui batas kaum merupakan satu perkara yang wajar dijadikan budaya dalam masyarakat hari ini.
Baru-baru ini, seorang individu lelaki berbangsa Cina menjadi bualan hangat di laman sosial apabila sanggup meluangkan masa ke sekolah bagi menandatangani kad laporan anak jirannya yang berbangsa India.
Tindakan kecil namun penuh makna itu disifatkan sebagai cerminan sebenar keharmonian rakyat Malaysia.
BACA LAGI: Dari olahraga ke bola sepak, Intan Serah kenang jasa Cikgu Hisyam bentuk karier sebagai atlet
BACA LAGI: Remaja bibir hitam bukan sebab rokok, usus rosak dek tabiat pemakanan gluten tinggi
Perkongsian berkenaan dimuat naik oleh Amyza Rose di laman Threads, memaparkan seorang uncle Cina yang difahamkan hadir ke sekolah bagi urusan kad laporan anak jirannya.
Menurutnya, situasi tersebut sangat istimewa kerana lelaki berkenaan bukan sahaja hadir sebagai wakil, malah tidak berkira membantu walaupun berbeza bangsa dan tiada pertalian keluarga.
"Aku tak pernah terfikir nak bawa anak jiran, ini pula lain bangsa, janggal bila cikgu tanya pasal yuran PIBG, uncle ni terus cakap tak apa, saya bayar dulu.
"Cikgu pesan nanti beritahu ibu bapa dan dia jawab selamba, 'tak ada hal, kita kena tolong-menolong',” ujarnya.
Amyza mengakui tersentuh dengan keikhlasan tersebut dan menyifatkan tindakannya sebagai bukti rakyat Malaysia masih aman dan damai.
Perkongsian itu kemudiannya meraih perhatian ramai dengan deretan emoji hati serta komen positif yang memuji nilai muhibah berkenaan yang semakin jarang dipertontonkan.
Di ruangan komen, tidak kurang juga warganet yang tampil berkongsi pengalaman peribadi masing-masing berhubung situasi berkenaan.
Seorang pengguna, andrew.heng.90 berkata, nilai saling membantu tanpa mengira bangsa adalah ajaran generasi terdahulu yang wajar diterapkan pada generasi muda.
"Tolong sekadar mampu tak kira bangsa, itu arwah atuk saya yang ajar, generasi dulu memang tak kisah warna kulit.
"Isu perkauman terjadi bila kita makin tak bertoleransi dan cepat melabel sesama sendiri, sayangi dan hormati budaya masing-masing itu sentimen sebagai anak Malaysia," katanya.
Sementara itu, rabbyyah turut berkongsi pengalaman ketika mendaki gunung apabila bertemu pasangan warga emas berbangsa Cina yang cukup ramah dan baik hati.
"Sampai checkpoint siap ajak minum kopi sama-sama, kongsi snek sama-sama, sebenarnya kita ni okay je, kan? Media sosial ni buat nampak teruk sangat," ujarnya.
"Dulu kawan adik selalu panggil ibu bapa saya mama ayah sampai ambil report card pun minta tolong sebab mak dia tak dapat hadir hinggakan cikgu ingat mak saya ada anak lain," tambah ciknurulll_.
Dalam pada kita sering dimomokkan dengan isu perkauman dan perpecahan masyarakat kebelakangan ini, tindakan ikhlas individu terbabit nyata mampu menyatukan hati dan menghidupkan semula keharmonian di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
