SEORANG lelaki kesal apabila terdapat agensi pengendali umrah yang seolah-olah mengambil kesempatan, dengan mengaut keuntungan ke atas para jemaah umrah ketika polemik Covid-19.
Naufal Tarmizi berkata, keluarganya adalah antara pelanggan yang mengambil pakej umrah selama 20 hari ke Makkah dan Madinah, menerusi Tiram Travel Sdn Bhd cawangan Tanjung Malim, Perak.
Beliau berkata, keluarganya sepatutnya dijadualkan untuk menaiki penerbangan Etihad Airways pada 5 Mac lalu, namun ada di antara mereka yang didapati positif Covid-19 setelah ujian dilakukan 48 jam sebelum berlepas.
Katanya, ini menyebabkan penerbangan mereka terkandas.
“Namun, mutawif dan cawangan Tiram Travel Tanjung Malim memberikan jaminan bagi yang positif Covid-19 akan ditunda ke tarikh 9 haribulan jika MySejahtera bertukar biru semula.
“Disebabkan kuarantin habis pada 9 haribulan, maka jemaah yang terkandas minta flight dijadualkan pada 10 haribulan dan dipersetujui mutawif. Mutawif ni juga positif (Covid-19) tapi berjaya pergi pada 9 hari bulan.
“Jemaah ini diminta bayar RM900 seorang ke akaun bank Tiram Travel,” katanya menerusi laman Facebook.
Lebih teruk, Naufal berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang khabar mengenai tiket yang bakal dikeluarkan pada 10 Mac, manakala ada ura-ura mengatakan ia akan dikeluarkan pada 13 Mac.
“Bila baca komen-komen di Facebook di page Tiram Travel, banyak yang terkandas belum dapat tarikh, ini termasuk ada yang dari bulan Januari dan ada yang dari tahun lepas.
“Tiram Travel hanya lepas tangan untuk selesaikan masalah jemaah terkandas kerana banyak lagi alasan. Bila isu ini mula panas, keluarlah pakej baru untuk jemaah yang terkandas. Aik, kena bayar lagi?
“Bila nak minta refund (pemulangan wang), katanya dapat RM2,000 lebih sahaja walaupun kita bayar pakej lebih RM8,000,” tambahnya kesal.
Pada Khamis, katanya, Tiram Travel menyalahkan Etihad Airways atas alasan kononnya meminta para jemaah yang sudah tamat kuarantin untuk melakukan semula ujian Covid-19, bagi mengetahui keputusan selanjutnya.
Sedangkan, ketika adiknya menghubungi Etihad Airways, syarikat penerbangan tersebut hanya respons mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
“Ikut SOP kerajaan Arab Saudi, bermula 6 Mac dah tak perlu PCR dan RTK. Siapa yang cuba berdalih ni?” soalnya.
Justeru, beliau memohon nasihat orang ramai khususnya mutawif dari agensi lain dan mereka yang bekerja anggota penguatkuasa mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas agensi tersebut.
“Selain report polis di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sekurang-kurangnya dapat semula duit yang dileburkan untuk umrah pun jadilah,” katanya.
Majoriti kini cuba mendapatkan penjelasan daripada agensi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram