PERUNDING Kewangan Berlesen, Dr. Adam Zubir menasihatkan golongan muda dan individu yang sedang membina kestabilan kewangan agar tidak terperangkap dalam keputusan yang berisiko menjejaskan masa depan kewangan mereka.
Beliau berkata, terdapat tiga perkara utama wajar dielakkan selagi seseorang belum mencapai tahap kekayaan sebenar.
BACA LAGI: Lihat prestasi kewangan syarikat, pakar kongsi tip minta naik gaji dengan majikan
BACA LAGI: Terpaksa ikat perut waktu belajar? Ketahui 5 tip pengurusan kewangan untuk student
Berikut Majoriti senaraikan tiga pesanan penting dikongsikan Dr. Adam:
1. Jangan beli kereta mahal
Beliau menegaskan, pembelian kereta mahal antara kesilapan paling biasa dilakukan, terutama individu yang baru mula mempunyai pendapatan stabil.
"Kereta akan telan duit banyak dan nilai pula cepat turun.
"Beli saja kereta yang anda mampu bayar bulan-bulan, tanpa koyakkan poket,” katanya.
2. Jangan beri kawan atau keluarga pinjam duit
Walaupun niat membantu itu baik, Dr. Adam mengingatkan bahawa meminjamkan wang kepada rakan atau ahli keluarga sering membawa risiko hubungan dan kewangan.
“Kalau mereka bayar semula, tiada masalah tapi jika tidak, yang akan tertekan adalah pemberi pinjam,” jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya benar-benar ingin membantu, beri wang tersebut dan anggap sebagai sedekah, bukan pinjaman, supaya tidak timbul rasa kecewa atau konflik di kemudian hari.
3. Jangan amal gaya hidup mewah
Menurut Dr. Adam, paling ramai individu tanpa sedar, terjebak dengan rutin mengejar gaya hidup mewah walaupun kewangan belum kukuh.
“Hotel lima bintang, beg berjenama, kafe hipster dan perbelanjaan mewah lain akan buat seseorang kekal miskin,” katanya.
Sebaliknya, beliau menyarankan agar lebihan wang dilaburkan terlebih dahulu dalam instrumen seperti unit amanah, saham atau hartanah.
Hanya keuntungan daripada pelaburan itu wajar digunakan untuk menikmati gaya hidup mewah ala T20. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
