Lihat prestasi kewangan syarikat, pakar kongsi tip minta naik gaji dengan majikan


  • Bisnes
  • Selasa, 16 Sep 2025

Pilih masa yang tepat untuk membincangkan mengenai kenaikan gaji. — Gambar hiasan / Freepik

MEMINTA kenaikan gaji sering menjadi topik sensitif bagi segelintir pekerja. Ada yang tidak tahu bila masa sesuai, bagaimana mahu memulakan perbualan, atau apa langkah seterusnya jika permintaan ditolak.

Menurut laporan Salary Trends 2025 oleh Totaljobs, 67 peratus pekerja bawah 30 tahun di United Kingdom berasa selesa meminta kenaikan gaji, berbanding 56 peratus individu berusia lebih 30 tahun. 

Kajian itu juga mendapati terdapat jurang jantina dengan 79 peratus lelaki muda lebih yakin berbanding Wanita (67 peratus).

Bagi memahami isu itu, Totaljobs dan aplikasi perancangan kewangan Moneyappi berkongsi pandangan melalui pakar mereka, Nicola Weatherhead dan Ray Law.

BACA LAGI: Kawasaki Ninja, skuter Yamaha XMax antara 'kapcai' bawah 250cc boleh dimiliki melalui Motorbike Loan Boost Bank

BACA LAGI: Cas penuh bateri 100 peratus antara kesilapan ramai buat, ketahui tip panjangkan hayat kenderaan EV

Cheerful young business people having brainstorming session

Pekerja boleh bertanyakan mengenai kenaikan gaji semasa ulasi prestasi tahunan. — Gambar hiasan/ Freepik

Mengapa sukar minta kenaikan gaji?

Nicola berkata, kebanyakan orang masih menganggap topik bayaran gaji sebagai ‘tabu’.

“Topik gaji dilihat sensitif, jadi kurang panduan atau perbincangan terbuka mengenainya. Itu menimbulkan ketidakpastian dan menghakis keyakinan,” katanya.

Ray pula berpendapat aspek masa dan konteks memainkan peranan.

“Perbualan perlu ada struktur. Kita perlu membina konteks kepada pengurus. Dan jangan lupa, pengurus juga manusia, ia patut menjadi perbualan yang berperikemanusiaan,” jelasnya.

Bila masa terbaik untuk bertanya?

Nicola mencadangkan masa paling sesuai ialah ketika ulasan prestasi tahunan atau akhir tahun kewangan.

Namun, katanya, pekerja juga boleh bertanya selepas menyiapkan projek besar atau apabila skop kerja berubah secara ketara.

“Kuncinya ialah bertanya ketika syarikat dalam kedudukan kewangan positif, dan anda boleh buktikan nilai dengan nilai yang anda tambah kepada faktor tersebut,” ujarnya.

Cheerful young business people having brainstorming session

Pekerja boleh meminta majikan mempertimbangkan alternatif lain seperti waktu kerja fleksibel, cuti tambahan atau kerja jarak jauh jika permintaan naik gaji ditolak. — Gambar hiasan/ Freepik

Tip utama sebelum minta kenaikan gaji

1. Buat kajian – lihat kadar gaji semasa untuk jawatan serupa.

2. Sediakan 'case study' perniagaan jelas – tunjukkan pencapaian, penjimatan kos atau tanggungjawab tambahan.

3. Pilih masa yang tepat – contohnya selepas projek berjaya atau semasa ulasan prestasi, tapi bukan ketika syarikat berdepan situasi kewangan.

4. Komunikasi jelas dan yakin – nyatakan angka dan sokong dengan bukti.

5. Latih ayat pembukaan – ini akan memberikan lebih keyakinan semasa perbualan.

Tip hadapi permintaan yang ditolak

Ray menasihatkan pekerja bertenang dan cuba faham situasi sebenar selain sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan itu.

“Lihat ia sebagai pendekatan holistik, dan bukan penolakan mutlak. 

“Tanya apa yang perlu anda buktikan dalam beberapa bulan akan datang dan minta garis masa untuk menyemak semula,” katanya.

Alternatif lain juga boleh dipertimbangkan, seperti waktu kerja fleksibel, cuti tambahan, atau kerja jarak jauh. 

Nicola pula mengingatkan supaya tidak menjadikan hal itu sebagai isu berpanjangan.

“Jangan ambil secara peribadi. Jawapan ‘tidak’ hari ini bukan bermaksud ‘tidak selamanya’,” ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram