Terpaksa ikat perut waktu belajar? Ketahui 5 tip pengurusan kewangan untuk student


  • Sihat
  • Selasa, 09 Jan 2024

Sesetengah pelajar terpaksa berlapar ketika belajar kerana kesuntukan kewangan. — Gambar hiasan

BERJIMAT CERMAT sebagai seorang pelajar bukanlah suatu perkara yang mudah kerana banyak tanggungjawab yang perlu dilunaskan sepanjang tempoh belajar sehinggalah tamatnya pembelajaran.

Malah, tidak semua pelajar berpeluang mendapat elaun atau duit belanja yang tinggi bagi mencukupi kehidupan harian mereka.

Sesetengah pelajar mungkin memperoleh pinjaman pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan ada juga mendapat duit perbelanjaan setiap bulan daripada ibu bapa mereka.

Namun, terdapat juga segelintir pelajar yang perlu berusaha keras seperti bekerja semasa waktu terluang untuk menampung perbelanjaan semasa universiti.

Oleh itu, ada beberapa tip yang boleh dibuat oleh seorang pelajar bagi membantu pengurusan wang yang lebih teratur:

WhatsApp Image 2024-01-09 at 12.22.52 PM

Bajet bulanan dapat diatur dengan baik jika seseorang pelajar mengasingkan kewangan mengikut keperluan tertentu.

1) Asingkan duit mengikut tujuan

Pertama, pelajar hendaklah mengasingkan duit perbelanjaan mengikut kategori seperti duit makan, duit buku, duit pengangkutan dan lain-lain mengikut keperluan pelajar.

Lebih efektif, disarankan supaya pelajar mengeluarkan duit secara tunai bagi mengelakkan perbelanjaan atas talian yang berlebihan.

Duit tersebut boleh diasingkan ke dalam sampul dengan mengikut sasaran dan tujuan yang ditetapkan agar tidak lari bajet yang ditetapkan.

Kaedah ini membolehkan seseorang pelajar mudah mengenalpasti keperluan dan kehendak perbelanjaan yang diperuntukkan buat kegunaan perkara-perkara penting.

Perkara ini juga penting supaya dapat memupuk minda disiplin kewangan dan tanggungjawab yang berterusan ke dalam kehidupan selepas tamat pengajian.

18519802_1350586641700095_2562598268269477203_n

Kad diskaun pelajar perlulah dimanfaat sebaiknya bagi kegunaan harian pelajar.

2) Gunakan kelebihan kad diskaun pelajar

Sebuah universiti kebiasaannya menyediakan potongan harga kepada seorang pelajar untuk membeli barangan di kedai-kedai tertentu.

Pelajar hendaklah menggunakan peluang ini sebaiknya agar dapat menjimatkan kos perbelanjaan.

Selain itu, pelajar yang menggunakan pengangkutan awam seperti komuter dan Mass Rapid Transit (MRT) boleh memohon pakej siswa supaya dapat mengurangkan kos pengangkutan untuk menuju ke sesuatu destinasi.

Jadi, peluang sebegini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pelajar untuk membeli barang keperluan atau kehendak maka itu kos perbelanjaan serba sedikit akan berkurang dan tidak melebihi bajet yang dianggarkan.

LRM_EXPORT_62732418646677_20191216_013011231

Membeli barangan terpakai antara salah satu cara pelajar dapat menjimatkan pelajar.

3) Membeli barangan terpakai

Membeli baranga terpakai juga salah satu kaedah yang banyak dilakukan oleh seorang pelajar bagi berjimat-cermat kerana harga barangan tersebut jauh lebih murah berbanding barangan yang baru.

Misalnya, pelajar boleh membeli buku terpakai daripada pelajar atasan program mereka untuk mengurangkan kos membeli buku yang mempunyai harga yang mahal.

Membeli buku terpakai tersebut sama sekali tidak mengurangkan kualiti dari segi pembelajaran pelajar tersebut.

Selain itu, barang-barang seperti pakaian dan tudung juga boleh beli di bundle untuk mendapatkan harga yang dua kali ganda lebih murah.

Jadi, pelajar masih boleh bergaya tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak.

4) Simpan baki duit belanja bulanan

Bagi memulakan simpanan kewangan yang sistematik, seseorang perlulah memulakan langkah dengan menyimpan baki kewangan perbelanjaan bulanan.

Contohnya, setiap kali seseorang pelajar memperoleh duit belanja daripada ibu bapa mereka, baki bulanan yang masih terdapat boleh disimpan ke bulan seterusnya.

Susunan bajet pengurusan kewangan akan lebih teratur dan memudahkan kita untuk mempunyai simpanan.

5) Pelan makanan harian

Jika pelajar duduk di rumah sewa, pelajar boleh berbincang bersama-sama rakan serumah untuk berkongsi duit membeli barangan dapur.

Hal ini kerana, dengan cara memasak sendiri sememangnya lebih jimat daripada membeli makanan tiap hari di restoran atau café.

Selain itu, pelajar yang duduk di hostel atau dorm yang tidak dibenarkan untuk memasak juga boleh membeli makanan di kafe yang disediakan dengan membeli nasi atau lauk yang banyak.

Sistem pengurusan kewangan yang sistematik dapat menguruskan kewangan yang dibuat, pelajar boleh memupuk tanggungjawab dengan menetapkan matlamat simpanan yang realistik dan membezakan di antara keperluan dan kehendak.

Tip-tip tersebut boleh diamalkan sebagai ikhtiar dalam menguruskan kewangan supaya sentiasa berkecukupan sehingga tidak perlu berlapar atau berhutang kepada sesiapa.

Oleh itu, jelaslah merancang perbelanjaan dengan bijak sangat penting untuk masa depan yang lebih terjamin dari segi kewangan. — Majoriti

Noradiba Syuhada Mohamad Khairi, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram