Adakah isteri boleh keluarkan wang dari akaun simpanan arwah suami walau tahu PIN 'number'? Ini jawapannya...


  • Cinta
  • Khamis, 18 Dis 2025

Seorang wanita kelihatan buntu di hadapan mesin ATM sambil memegang kad bank milik arwah suaminya. — Gambar hiasan/AI

"SAYANG, kalau abang sudah tiada nanti, ambil sahaja duit dalam akaun simpanan itu. Sayang pun sudah tahu nombor PIN abang, bukan?"

Pesanan ringkas seperti itu sering dianggap sebagai 'talian hayat' oleh si isteri sebagai persediaan sekiranya ketua keluarga dijemput Ilahi.

Namun, dari sudut hukum syarak dan undang-undang harta pusaka di Malaysia, tindakan mengeluarkan wang simpanan si mati menggunakan kad Bank Simpanan Automatik (ATM) selepas kematiannya adalah satu tindakan yang tidak dibenarkan.

Menurut Perunding Pewarisan Harta Islam, Fazli Mazlan menerusi perkongsian di Threads, sebaik sahaja suami menghembuskan nafas terakhir, status pemilikan wang di dalam akaun bank tersebut berubah secara automatik.

BACA LAGI: Mengikis stigma lapuk, status janda juga insan biasa - Datuk Mastura

BACA LAGI: Isteri curiga suami kerap main pickleball alasan nak jumpa wanita cantik, siap teliti dulu foto, senarai nama peserta

"Sebaik sahaja suami meninggal dunia, semua wang dalam akaun bank bertukar status menjadi harta pusaka.

"Ia bukan lagi harta peribadi yang boleh digunakan sewenang-wenangnya, walaupun oleh isteri sendiri," tegas beliau.

Beliau menjelaskan bahawa keizinan lisan yang diberikan oleh suami semasa hidup tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengatasi hukum pewarisan selepas kematian.

Meskipun isteri memegang kad ATM atau mengetahui kod rahsia (PIN) akaun tersebut, ia tidak menghalalkan pengambilan wang itu tanpa melalui proses pembahagian pusaka yang sah.

Risiko makan harta batil

Dalam Islam, pengurusan harta si mati perlu mengikut urutan yang jelas.

Sebelum baki wang boleh diagihkan kepada waris mengikut sistem Faraid, beberapa perkara wajib diselesaikan terlebih dahulu:

1. Kos pengurusan jenazah.

2. Penyelesaian hutang-piutang si mati (hutang dengan ALLAH dan manusia).

3. Pelaksanaan wasiat (jika ada, tidak melebihi satu pertiga harta).

Fazli turut memberi peringatan keras mengenai kesan mengambil wang tersebut tanpa persetujuan waris-waris lain yang berhak.

"Jika duit pusaka diambil tanpa persetujuan semua waris, ia boleh dikategorikan sebagai memakan harta orang lain secara batil.

"Walaupun niat isteri adalah untuk kegunaan keluarga atau anak-anak, prosedur syarak tetap perlu dipatuhi," katanya.

Situasi serba salah itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pasangan suami isteri melakukan perancangan harta yang lebih awal dan sistematik semasa masih hidup.

Antara instrumen yang disarankan termasuklah Hibah, iaitu pemberian harta secara kasih sayang yang berkuat kuasa serta-merta dan tidak tertakluk kepada hukum Faraid.

Dengan adanya dokumen hibah yang sah, isteri boleh memiliki wang tersebut tanpa perlu menunggu proses tuntutan pusaka yang adakalanya memakan masa lama.

Kesimpulannya, kefahaman masyarakat mengenai pengurusan harta pusaka perlu diperkasakan agar tidak berlaku perlanggaran hukum agama.

Elakkan mengambil jalan mudah dengan menggunakan kad ATM arwah, sebaliknya uruskanlah harta tersebut mengikut saluran perundangan dan syariat yang ditetapkan demi keberkatan hidup di dunia dan akhirat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram