GELOMBANG baharu kesedaran alam sekitar dan kecekapan kos kini melanda majlis perkahwinan dan acara khas yang dikendalikan oleh Generasi Z (Gen Z) dan Milenial.
Golongan muda semakin lantang menyuarakan pencarian alternatif yang lebih beretika dan menjimatkan berbanding bergantung kepada bunga segar diimport dari luar negara.
Situasi tersebut secara tidak langsung mendedahkan kos tersembunyi industri bunga global terhadap iklim.
BACA LAGI: Fenomena Rembayung dari Thailand ke Itali, inspirasi 'glass house' cipta ‘ambiance’ pembuka selera
BACA LAGI: Seri Negara diberi nafas baharu, konservasi anggun bertemu kemewahan kontemporari
Bunga segar biarpun cantik, sering kali membawa kesan karbon yang ketara.
Laluan bekalan ke pasaran Amerika Utara, contohnya, lazimnya bermula di Amerika Selatan telah melibatkan rantaian yang kaya dengan pelepasan karbon, jelas seorang profesor sains kelestarian dari Universiti British Columbia, Kai Chan.
"Bunga mudah layu apabila dipotong, lantas memerlukan penyejukan dan pengangkutan udara. Kedua-duanya memerlukan tenaga dan melepaskan gas pemanas planet," ujarnya.
Isu utama lain adalah amalan monokultur iaitu menanam secara besar-besaran satu jenis tanaman seperti mawar yang memerlukan pembersihan hutan dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Amalan itu bukan sahaja menghabiskan nutrien tanah, malah menjadikan kawasan itu lebih terdedah kepada perosak.
Menurut Profesor Chan, ia seolah-olah bertentangan dengan cara ekosistem berfungsi, anda menentang alam semula jadi di setiap sudut.
Justeru, membeli bunga daripada petani tempatan berskala kecil secara amnya lebih baik kerana ia mengurangkan jarak perjalanan dan lazimnya petani tempatan mengamalkan kaedah yang selaras dengan persekitaran tempatan.

Bunga ditanam sendiri menjimatkan kos perkahwinan, hanya RM3,844 berbanding ribuan ringgit.
Kes Emily Day, seorang pengantin dari Calgary, Kanada, menjadi contoh. Berbanding mengupah perangkai bunga untuk perkahwinannya pada Oktober, Day, beliau memilih cabaran kreatif dengan menanam sendiri bunga di halaman rumah.
Beliau mendapati hiasan bunga yang ditanam sendiri bukan sahaja sama cantik dengan yang dibeli di kedai, malah kos jauh lebih rendah.
Day dan tunangnya membina kotak taman dan menanam pelbagai bunga seperti yarrow, feverfew, strawflowers dan statice sebelum menuai dan mengeringkannya menjelang musim luruh.
Untuk majlis perkahwinan, beliau menggunakan gubahan dengan rona musim luruh, dihiasi blue echinops daripada petani tempatan dan tansy yang dikutip di tepi jalan.
Memandangkan bunga-bunga tersebut dikeringkan, ia akan bertahan lebih lama berbanding gubahan perkahwinan biasa.
Secara keseluruhan, Day hanya membelanjakan sekitar CD$1,300 (RM3,844), sebahagian kecil daripada apa yang dibayar oleh kebanyakan pasangan kepada perangkai bunga.
Day berkata, menanam sendiri bunganya membuatkannya lebih sedar tentang kos alam sekitar di sebalik bunga import daripada pembungkusan plastik hingga kepada bahan api yang digunakan untuk menerbangkannya merentasi benua.
Trend Gen Z, Milenial
Selaras dengan kesedaran itu, Gen Z dan Milenial mula menerapkan kelestarian ke dalam perancangan perkahwinan dan acara khas antaranya:
- Menanam sendiri gubahan bunga.
- Memetik bunga liar (wildflowers) atau menggunakan tumbuhan pasu sebagai hiasan.
- Perniagaan mendapatkan bunga secara tempatan dan menjalankan program pengumpulan semula serta penggunaan semula bunga selepas acara.
Pemilik District 2 Florals, Holly Lukasiewicz di Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat turut mengamalkan kelestarian dengan mendapatkan sumber tempatan dan mengelakkan penggunaan blok span hijau yang lazimnya tidak terbiodegradasi.
Beliau juga menawarkan perkhidmatan tambahan untuk mengambil semula bunga dan mengomposnya atau menekan dan mengawet bunga untuk pelanggan.
"Apabila saya memulakan perniagaan, saya tahu saya mahu mengitar semula, mengompos, dan menggunakan semula apa sahaja yang termampu,” kata Lukasiewicz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
